Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) antara yang akan diperkenalkan dalam Karnival Jelajah Selangor Penyayang daerah Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Selangor prihatin masalah rakyat, turun padang bantu golongan susah

PETALING JAYA, 2 JULAI: Selangor merupakan antara tiga negeri di bawah pentadbiran pembangkang yang prihatin dengan masalah rakyat, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata usaha memperkasakan rakyat masih belum cukup kerana parti itu perlu turun berjumpa golongan tersebut di luar bandar.

“Tiada negeri yang tunjukkan keprihatinan terhadap masalah rakyat termasuk ibu tunggal seperti negeri-negeri Pakatan Harapan.

“Saya harap hal-hal dibangkitkan melibatkan Kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan diberi perhatian,” katanya ketika berucap dalam Sidang Nadi Rakyat anjuran KEADILAN di sini hari ini.

Ketua pembangkang itu juga berkata kawasan miskin bandar, estet dan pedalaman akan menjadi medan untuk KEADILAN meraih undi sebagai persediaan pilihan raya umum akan datang.

“Jadi jangan bicara soal letih, lemas. Bicara soal tanggungjawab bangkitkan kesedaran rakyat dan selamatkan negara kita,” katanya.

Bulan lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan 11 inisiatif baharu bagi menambah baik kualiti hidup penduduk Selangor menerusi Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Penambahan itu menjadikan keseluruhan 44 program ditawar kepada penduduk untuk kelestarian dan pembangunan kehidupan.


Pengarang :