Pegawai Daerah Petaling Mohd Jusni Hashim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Aset ICT percepat proses penerimaan maklumat hadapi bencana

SHAH ALAM, 26 JULAI: Peralatan komunikasi teknologi maklumat (ICT) yang diterima pejabat daerah dan tanah (PDT) membantu mempercepat proses penerimaan maklumat bencana.

Pegawai Daerah Petaling menjelaskan peralatan daripada Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) membolehkan pejabat peringkat daerah mengakses data pada bila-bila masa.

“Sebelum ini, data hanya ada pada pusat operasi bencana negeri. Pada peringkat daerah, kita terima secara manual iaitu mesej WhatsApp,” kata Mohd Jusni Hashim.

Beliau juga difahamkan SSDU sedang membangunkan sistem yang menghubungkan antara jabatan dan agensi lain bagi memudahkan perkongsian maklumat penting.

Pada 24 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari menyerahkan alatan itu kepada tujuh PDT dalam program Jelajah Selangor Penyayang di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Alatan antaranya televisyen pintar, komputer riba dan beberapa peranti komputer bertujuan mendigital pusat kawalan operasi bencana daerah supaya kejadian musibah diurus lebih cekap.

PDT Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Gombak turut menerima aset itu. Sebelum ini, PDT Hulu Langat dan Sepang menerima alatan sama sempena siri jelajah pada 19 Jun.


Pengarang :