Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program hala tuju membentuk naratif pembangunan masyarakat India di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 3 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Asrama SJKT Ladang Midlands, Shah Alam dibuka tahun depan, muat 200 murid

KLANG, 4 JULAI: Asrama Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midlands, Seksyen 7, Shah Alam akan beroperasi secara rasmi pada sesi persekolahan penggal pertama tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata asrama terbabit mampu memuatkan seramai 200 pelajar tahun satu hingga enam dengan sasaran kemasukan minimum 100 murid pada peringkat permulaan.

“Asrama yang cantik di sekolah berkenaan sudah selesai dibina. Dalam masa terdekat kita akan bincang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk pastikan operasi asrama ini dimulakan secepat mungkin.

“Tetapi sebelum penggal baharu persekolahan dibuka, kita mahu beri latihan kepada masyarakat dan anak-anak di asrama berkenaan,” katanya.

Beliau berucap dalam program hala tuju membentuk naratif pembangunan masyarakat India di Malaysia di Hotel Wyndham Achmar di sini, malam tadi. Turut hadir Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj.

Sementara itu, Gunaraj memaklumkan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu mengakibatkan penangguhan operasi asrama berkenaan.

“Ketika Covid-19 memang tumpuan tidak diberikan, maka sekarang tiba masanya kita bergerak dan membawa masuk murid-murid ke asrama sekolah tersebut.

“Bagaimanapun, bermula sekarang sehingga Disember, asrama ini boleh digunakan untuk pelaksanaan program pembangunan masyarakat India terutama untuk keluarga berpendapatan rendah (B40),” katanya menambah kos operasi asrama mencecah RM1.1 juta setiap tahun.


Pengarang :