Penduduk membersihkan rumah selepas banjir surut di Kampung Iboi, Kupang, Baling Kedah pada 5 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Baling: 495 mangsa di pusat pemindahan setakat 8 pagi

BALING, 6 JULAI: Mangsa banjir di daerah ini yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 495 orang setakat 8 pagi ini berbanding 1,424 orang pada sebelah malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Kapt (PA) Rasidah Kassim berkata kekurangan itu berikutan kebanyakan pelajar yang berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yayasan Al-Khiriah diambil waris masing-masing sekali gus jumlah yang masih berada di PPS itu seramai 78 pelajar.

Sementara itu, beliau berkata mangsa yang berada di PPS SMK Jerai terdapat 159 orang daripada 50 keluarga manakala 258 orang daripada 59 keluarga berada di PPS Surau An-Nur.

“PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana) masih dibuka untuk menerima panggilan dan merekodkan  data yang diterima oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku pada Isnin petang itu, turut mengorbankan tiga mangsa manakala tujuh rumah musnah dihanyutkan arus deras selain kira-kira 70 rumah rosak akibat bencana itu.

— BERNAMA

 


Pengarang :