Muhammad Khairul Asyraf Nor Azman, 24, membawa janin allahyarham isterinya yang berusia empat bulan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Bemban, Kupang Baling pada 6 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Baling: Arwah isteri luah hasrat namakan anak Muhammad Aidan

BALING, 6 JULAI: Walaupun belum diketahui jantina bayi mereka, mangsa banjir Nurul Anis Abu Hassan, 23, pernah menyatakan hasrat menamakan bayinya dengan panggilan Muhammad Aidan.

Suaminya Muhammad Khairul Asyraf Nor Azman, 24, berkata nama yang dipilih isterinya mempunyai makna yang baik iaitu anak lelaki yang penuh bersemangat, berakhlak mulia dan cergas.

“Kami berkahwin pada 2 Feb lepas dan memang tidak kisah tentang jantina anak, sama ada lelaki atau perempuan, tetapi arwah ada mencadangkan nama Muhammad Aidan.

“Sebelum ini ada buat imbasan namun tidak diketahui jantinanya, hari ni, saya sempat tatap wajah anak saya, memang seiras saya,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Surau Al-Istiqamah, Kampung Charuk Bemban Dalam dekat sini selepas majlis pengebumian isterinya pagi tadi.

Dalam nada sebak, Muhammad Khairul Asyraf yang bekerja kilang di Pulau Pinang berkata beliau reda dengan kehilangan serentak isteri, ibu Salmah Mat Akib, 53, bayi dan adiknya Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dalam kejadian banjir itu.

“Sebelum kejadian ini, dia (arwah isteri) selalu nasihatkan agar saya jaga diri, baca doa bila keluar rumah dan berhati-hati menunggang motosikal..kerap sangat dia pesan macam tu.

“Bila ditanya nak raya di mana, nak beli baju raya, dia jawab tak mau sembang lagi tentang itu dan meminta menunggu saya balik ke kampung dulu,” katanya yang turut memaklumkan menyewa rumah di Pulau Pinang dan berulang alik kampung semasa cuti kerja.

Muhammad Khairul Asyraf menyifatkan Nurul Anis sebagai seorang isteri yang sangat baik dan rapat dengan ibunya serta sanggup menjaga Salmah sewaktu beliau bekerja.

“Dia minta untuk jaga mak saya sewaktu saya keluar bekerja, malah arwah juga bukan jenis mengongkong sebaliknya banyak menyerahkan kepada saya untuk buat keputusan…dia jaga makan minum mak saya, rapat sangat dengan mak saya,” katanya.

Mayat Nurul Anis dan ibu mentuanya yang lumpuh itu ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan pokok kira-kira 100 meter dari tapak rumah mereka yang dihanyutkan itu kira-kira 9.30 pagi, semalam.

Mangsa ketiga Khairul Ikhwan pula ditemukan pada 11.55 pagi semalam di bawah timbunan pokok, tidak jauh dari mayat ibu dan kakak iparnya ditemukan.

— BERNAMA


Pengarang :