Peserta membuat pemeriksaan mata pada program Selangor Saring sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bantuan kesihatan Kerajaan Negeri tanda keprihatinan terhadap penjawat awam

KUALA SELANGOR, 4 JULAI: Bantuan Peduli Sihat yang disediakan Kerajaan Negeri dianggap tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap nasib penjawat awam.

Rabiatul Adawiyah Abdul Rahaman, 34, berkata bantuan itu mampu meringankan beban penjawat awam kurang berkemampuan yang mempunyai penyakit kronik dan memerlukan rawatan.

“Setakat ini saya tiada penyakit yang serius dan belum guna bantuan ini meskipun setiap tahun diperbaharui. Namun, bagi saya bantuan seperti ini amat membantu apabila ada kecemasan.

“Kita tidak tahu bila kita sakit atau meninggal dunia, sekurang-kurangnya apabila ada bantuan Peduli Sihat Penjawat Awam ini kita boleh manfaatkannya apabila memerlukan,” katanya yang bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor.

Terdahulu, Rabiatul adalah antara lima penerima Peduli Sihat Penjawat Awam yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor dekat sini, kelmarin.

Sementara itu, Rosman Sayan, 51, berkata bantuan itu dapat mengurangkan beban kewangan penjawat awam yang bergred rendah iaitu Gred 44 ke bawah.

“Kerajaan Negeri memang sangat prihatin dan saya amat bersyukur dipilih sebagai salah seorang penerima.

“Namun, saya berharap ia diperluaskan kepada semua jenis penyakit dan tidak hanya tertumpu kepada penyakit kronik,” katanya lagi.

Peduli Sihat Penjawat Awam khusus diberikan kepada kakitangan kerajaan di Selangor Gred 44 dan ke bawah dengan had rawatan kesihatan dan perubatan sehingga RM10,000 setahun, faedah kematian akibat kemalangan atau semulajadi (RM10,000) dan kecacatan kekal (RM10,000).


Pengarang :