Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima Bantuan Sihat Selangor (BSS) sempena Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Bantuan Sihat Selangor ringan beban pesakit tulang belakang beli alat sokongan badan

KUALA SELANGOR, 3 JULAI: Seorang ibu tunggal meluahkan syukur apabila anaknya yang menghidap penyakit Scoliosis iaitu sakit tulang belakang terpilih sebagai penerima Bantuan Sihat Selangor.

Azizah Hamid, 45, berkata bantuan Kerajaan Negeri itu dapat meringankan beban membeli bantuan peralatan sokongan buat anak bongsunya, Ross Syazwina Rossapizal berusia 14 tahun.

Azizah Hamid, 45

“Syukur sangat apabila dapat bantuan RM2,500 setahun sekurang-kurangnya meringankan beban saya untuk membeli bantuan peralatan sokongan (pendakap badan) buat dia (anak).

“Setiap bulan hampir RM1,000 kos rawatan, ubatan dan perjalanan pergi balik ke hospital untuk dia. Terima kasih Kerajaan Negeri. Semoga bantuan ini berterusan,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Azizah antara lima penerima Bantuan Sihat Selangor yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor dekat sini, semalam.

Sementara itu, G Latchimie, 28, yang mewakili ayahnya K Murugan, 52, untuk menerima bantuan sama berkata sumbangan RM2,000 itu amat membantu bagi kos rawatan dialisis.

G Latchimie, 28

“Ayah menghidap sakit buah pinggang sejak 2017 dan memang setiap tahun terima Bantuan Sihat Selangor. Ia sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga dalam menampung kos rawatan dia.

“Cuma harap jumlah bantuan dipertingkatkan lagi kerana kos rawatan semakin lama semakin meningkat,” kata anak tunggal itu.

Bantuan Sihat Selangor diperkenal sejak 2019 bertujuan meringankan beban kewangan kepada golongan kurang berkemampuan untuk menampung kos rawatan kesihatan bagi beberapa jenis penyakit.

Setiap tahun program itu sentiasa ditambah baik dengan mempelbagaikan jenis kemudahan bantuan meliputi pembedahan katarak mata, dialisis, pembedahan kecil dan rawatan rumah pesakit terlantar.


Pengarang :