Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima Skim Rawatan Jantung Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Beban pesakit jantung sejak 12 tahun berakhir, negeri lulus bantuan RM50,000

KUALA SELANGOR, 6 JULAI: Kesempitan seorang pesakit jantung untuk membiayai kos rawatan sejak 12 tahun lalu berakhir apabila Kerajaan Negeri meluluskan permohonan Skim Rawatan Jantung berjumlah RM50,000.

Pemandu lori P Murugan, 64, mengakui sebelum ini terpaksa meraih simpati saudara-mara dan kenalan terdekat bagi melunaskan kos operasi pembedahan pada 2010, 2016 dan 2019 yang mencecah hampir RM48,000.

“Rasa lega dan bersyukur kerana nama saya tersenarai sebagai penerima bantuan. Sebenarnya skim ini dimohon dari tahun lepas lagi dan baru sahaja mendapat kelulusan.

“Terima kasih Kerajaan Negeri, tanpa bantuan ini sukar buat rawatan termasuk mengambil ubat di hospital. Lagipun gaji sebagai pemandu lori tidak cukup tampung kos (rawatan) yang agak tinggi,” katanya bapa lima anak yang menetap di Taman Bendahara dekat sini.

Murugan antara lima penerima bantuan skim berkenaan yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai lalu.

Bagi Muhammad Fazmee Shah, 32, permohonan skim tersebut dibuat sebagai persediaan memandangkan penyakit buah pinggang yang dihidap sejak dua tahun lalu memberi risiko kepada jantung.

“Saya jalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. Cuma yang pasti ia akan merebak ke jantung sedikit demi sedikit jadi saya mohon skim ini di pejabat pusat khidmat Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati dan tak sangka diluluskan.

“Saya akan gunakan pembiayaan ini sebaik menerima rawatan jantung di hospital nanti,” kata bapa tiga anak yang bekerja sebagai pemandu lori.

Kerajaan Selangor meneruskan program Skim Rawatan Jantung tahun ini bagi membantu rakyat memerlukan dengan pembiayaan sehingga RM50,000.

Sebelum ini, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan seramai 257 pesakit mendapat manfaat itu sejak dilancarkan pada 2018 membabitkan kos RM4.03 juta.

Skim itu terbuka kepada warganegara Malaysia yang lahir di Selangor atau menetap di negeri ini melebihi 10 tahun dan mempunyai pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000 sebulan.

Permohonan boleh dibuat melalui Selcare Management Sdn Bhd (Selcare) yang akan mengeluarkan surat jaminan (GL) sebelum mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.


Pengarang :