Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Bekalan minyak masak paket pulih dalam masa terdekat – KPDNHEP

ALOR SETAR, 2 JULAI: Kekurangan bekalan minyak masak paket yang berlaku setiap bulan akan pulih dalam masa terdekat selepas kerja-kerja pembungkusan dan agihan minyak dilakukan oleh syarikat pembekal minyak masak bersubsidi.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata sehingga kini pengeluaran minyak masak subsidi masih kekal sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan.

Katanya, setiap bulan kerajaan akan mengagihkan kuota 60,000 tan metrik minyak masak berkenaan kepada pengilang sebelum ia diagihkan kepada syarikat pembekal dan pembungkus.

“Kebiasaannya, pada satu dan dua hari bulan, baru minyak masak ini dibungkus dalam paket sebelum ia diagihkan untuk dijual kepada pengguna. Proses ini mengambil masa sehari, dua sahaja setiap bulan dan itu perkara biasa jadi tidak timbul isu minyak masak paket tiada di pasaran.

“Kuota minyak masak subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ini dijual dengan harga sangat rendah iaitu RM2.50 sepaket berbanding harga yang diapungkan, sebab itu ia mendapat permintaan tinggi daripada pengguna,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan sempena pelaksanaan penentuan harga maksimum ayam dan telur di Pasar Basar Alor Setar yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof.

Sementara itu, Azman menegaskan bahawa tiada sebab untuk peniaga-peniaga menjual ayam melebihi harga siling RM9.40 yang telah ditetapkan oleh kerajaan terutamanya di kawasan luar bandar.

“Sepatutnya tidak timbul isu perbezaan harga jualan ayam di bandar dan luar bandar kerana mekanisme harga yang ditetapkan oleh kerajaan telah mengambil kira margin keuntungan yang mencukupi untuk setiap peringkat.

“Kalau benar-benar berlaku perbezaan harga terutamanya di kawasan luar bandar, KPDNHEP mengalu-alukan aduan daripada pengguna. Berikan maklumat lengkap termasuk harga dan tempat jualan bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

Menurutnya, semalam sebanyak 1,873 premis yang menjual ayam, telur dan minyak masak telah diperiksa dan tiada kes yang membabitkan penjualan melebihi harga kawalan dikesan.

– BERNAMA


Pengarang :