AGENDANASIONAL

Bekas MB Selangor meninggal dunia jam 11.08 malam

SHAH ALAM, 31 JULAI: Bekas Dato’ Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meninggal dunia pada 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Hantaran di laman Facebooknya memaklumkan Allahyarham Abdul Khalid, 76, telah dimasukkan ke hospital sejak 23 April lepas akibat jangkitan pada injap jantung.

Menurut hantaran tersebut, jenazah Menteri Besar Ke-14 Selangor itu akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab di Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

“Selepas itu, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5 di sini bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah,” menurut hantaran itu.

Atas titah dan limpah kurnia DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, jenazah Allahyarham akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 di sini.

Allahyarham, yang merupakan anak jati Jeram, Kuala Selangor, meninggalkan seorang isteri iaitu Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.

– BERNAMA

 


Pengarang :