AGENDAJENAYAH

Berbalah mengenai laluan koridor, lelaki tetak jiran warga emas

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menetak jirannya dengan sebilah pisau di Kampung Baru Ampang di sini selepas berbalah mengenai laluan koridor di hadapan rumah mereka, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pada pukul 5.45 petang, dan polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Beliau berkata lelaki berusia 64 tahun yang ditetak itu mengalami kecederaan di tangan kiri dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan.

“Suspek dikatakan tidak berpuas hati semasa warga emas itu lalu di hadapannya ketika itu. Polis juga sedang menyiasat kemungkinan warga emas itu melakukan provokasi terhadap suspek ketika berada di situ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mereka telah berjiran selama lima tahun dan suspek mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah.

-BERNAMA


Pengarang :