Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) pada Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bingkas ditambah baik, penerima dapat RM3,600 setahun

SHAH ALAM, 1 JULAI: Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) ditambah baik dengan peningkatan wang tunai RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan inisiatif Kerajaan Negeri yang sebelum ini dikenali sebagai Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) memberi wang tunai RM200 sebulan.

Malah, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu turut diperluaskan kepada rakyat tanpa mengira jantina dengan jangkaan pertambahan sebanyak 9,000 keluarga.

“Bantuan ini boleh digunakan untuk keluarga menampung perbelanjaan barang dapur, pendidikan atau apa-apa urusan keluarga yang memerlukan.

“Banyak lagi inisiatif yang ada termasuk Bingkas yang dikongsi di Jelajah Selangor Penyayang berlangsung di Stadium Utama Kuala Selangor Sabtu ini. Datanglah dan teroka, semoga ada inisiatif yang boleh dimanfaatkan,” katanya di Facebook.

Siri Jelajah Selangor Penyayang yang memperkenal inisiatif baharu dan ditambah baik diteruskan di Stadium Utama Kuala Selangor esok.

Program bermula 8 pagi hingga 5.30 petang dijadual dirasmikan Amirudin kira-kira jam 11 pagi.

Pelbagai acara diatur dalam acara itu antaranya persembahan artis termasuk Wany Hasrita, senamrobik, pertandingan sukan rakyat, e-sukan dan derma darah.

Turut diadakan, simbolik penyerahan bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor, bantuan Dana Usahawan Mikro Selangor selain program Puspanita dan forum kesihatan.

 

 


Pengarang :