Poster Filem Stone Turtle. Foto Facebook EDMUND YEO
AGENDANASIONAL

Bront Palarae, filem Stone Turtle bertanding festival filem di Switzerland

SHAH ALAM, 7 JULAI: Filem Stone Turtle arahan Woo Ming Jin terpilih untuk bertanding di Festival Filem Antarabangsa Locarno ke-75 di Switzerland pada Ogos.

Filem terbitan Greenlight Pictures bertanding dalam Concorso Internazionale (Pertandingan Utama) sekali gus melakar sejarah menjadi filem berbahasa Melayu pertama yang dipilih untuk kategori utama Locarno.

Selain bersaing untuk hadiah utama, Golden Leopard, Woo Ming Jin juga bertanding untuk anugerah Pengarah Terbaik.

Manakala kedua-dua pelakon utamanya, Bront Palarae dan bintang Indonesia Asmara Abigail pula bertanding untuk Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

Sementara itu, penerbit dan penyunting filem Stone Turtle Edmund Yeo berbangga dengan pencapaian naskhah berkenaan dan menyifatkan festival itu sebagai medan terbaik bagi pengkarya hebat bertanding.

“Ini adalah penghormatan yang besar untuk bertanding di Festival Filem Antarabangsa Locarno, tempat wira-wira filem menayangkan karya mereka sepanjang 75 tahun sejarah festival tersebut.

“Antaranya Ryusuke Hamaguchi yang memenangi Oscar, Edward Yang, Wang Bing, Claire Denis dan ramai lagi pembikin filem hebat di dunia. Saya teruja filem Stone Turtle menjadi sebahagian daripada tradisi ini,” katanya di Facebook semalam.

Sepanjang festival sebelas hari itu, Stone Turtle akan ditayangkan di lokasi tersohor iaitu Piazza Grande Locarno yang mempunyai kapasiti 8,000 penonton.

Bintang filem serta pengarahnya dijangka hadir pada festival yang berlangsung dari 3 hingga 13 Ogos.

Stone Turtle ialah thriller dramatik yang menggabungkan aksi langsung dan animasi, ia adalah kisah perjalanan masa seorang wanita di pantai timur.

Naskhah yang memulakan pengambaran di Terengganu pada Januari lalu mengandingkan dua pelakon hebat, Bront Palarae dan bintang Indonesia Asmara Abigail.

Filem ini turut dibintangi oleh Amerul Affendi, Maisyarah Mazlan, Samara Kenzo dan Alison Khor.

Festival Filem Antarabangsa Locarno yang bermula sejak 1946 dianggap antara festival filem antarabangsa utama di seluruh dunia.

 


Pengarang :