EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han meninjau tapak kosong di kawasan BK 8 Bandar Kinrara yang dijadikan tempat pembuangan sampah haram pada 18 Januari 2022. Foto tangkap layar video Facebook Ng Sze Han
EXCOSELANGOR

Buang sampah haram, MBSJ keluar 1,153 kompaun terhadap pesalah

SHAH ALAM, 26 JULAI : Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan 1,153 notis tawaran mengkompaun (NTK) terhadap pesalah membuang sampah secara haram sejak Januari hingga kini .

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,139 NTK mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil 4 manakala 14 NTK peruntukan Undang-Undang Kecil 12.

“Dalam perkara ini, enam kes sudah dimajukan ke peringkat pendakwaan manakala tiga kes disabitkan di mahkamah dan selebihnya dalam peringkat sebutan kes.

“Bukti ini perlu menunjukkan secara jelas pesalah yang membuang sampah secara haram selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap (Majlis Perbandaran Subang Jaya) 2007,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berhubung penguatkuasaan pembuangan sampah secara haram dalam  sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sze Han berkata tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan jika saksi melihat secara terus kesalahan pembuangan sampah secara haram tanpa bukti visual atau rakaman.

“Namun, ia tertakluk kepada keupayaan dan kerelaan saksi untuk menjadi saksi pendakwaan di mahkamah sekiranya kompaun dicabar dan kes dibicarakan,” katanya.


Pengarang :