Peserta membuat pendaftaran ketika program Selangor Saring DUN Dusun Tua di Dewan Komuniti Kampung Batu 9, Hulu Langat pada 26 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buat saringan awal, kesan risiko barah payudara, usus

SHAH ALAM, 12 JULAI: Orang ramai digalak membuat saringan awal secara percuma melalui program Selangor Saring yang giat dijalankan di seluruh negeri.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata antara penyakit yang boleh dikesan ialah barah, yang terjadi akibat pertumbuhan sel tidak terkawal.

Menerusi Facebook, beliau berkata barah menjadi bahaya apabila sel tersebut mengganggu fungsi normal pada badan dan ia ditampilkan melalui gejala-gejala tertentu.

“Jom semua untuk hadir membuat saringan awal secara percuma bawah program Selangor Saring ini.
Pendaftaran adalah percuma. Anda boleh terus daftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah),” katanya.

Dr Siti Mariah turut berkongsi infografik tiga jenis barah yang banyak menyerang wanita iaitu payudara sebanyak 33.9 peratus, usus besar (10.7 peratus) dan pangkal rahim (6.2 peratus).

Manakala bagi lelaki pula jenis barah tertinggi ialah usus besar (16.9 peratus), paru-paru (14.9 peratus) dan prostat (8.1 peratus).

Program Selangor Saring akan diteruskan di Petaling pada 24 Julai ini untuk membantu golongan berisiko mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta.

 


Pengarang :