Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan buku Pilihan Raya Negeri Selangor sempena Kongres Nasional Ke-16 KEADILAN di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam pada 16 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Buku data pilihan raya jadi rujukan, kenali pengundi di DUN, Parlimen

SHAH ALAM, 16 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan buku Pilihan Raya Negeri Selangor di Mini Ekspo @ Kongres Nasional Ke-16 KEADILAN hari ini.

Buku mengandungi data menyeluruh pengundi di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk jumlah pengundi, jantina dan peringkat umur itu diterbitkan Jawatankuasa Pilihan Raya Keadilan Negeri.

Amirudin berkata buku berkenaan dapat membantu jentera pilihan raya dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Ini (PRU) cabaran besar kepada kita. Waktu ini bukan masa untuk fikir gelombang sebaliknya perlu memfokuskan kepada data pengundi untuk catat kemenangan.

“Ia penting kepada petugas dan pekerja pilihan raya. Kalau semua faham hala tuju, kita akan dapat kejayaan,” katanya.

Sementara itu penerbit buku yang juga pengarah operasi Keadilan dan Pakatan Harapan negeri berkata buku terbabit adalah keluaran kedua selepas kali pertama dilancarkan pada April 2019.

“Ia akan dijadikan rujukan dan panduan di peringkat DUN dan Parlimen. Data adalah setakat Mei tahun ini dan ia diperoleh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Sebanyak 2,000 cetakan dibuat dan sudah diagih ke beberapa Parlimen sempena program Jelajah Pakatan Harapan yang bersekali dengan Jelajah Selangor Penyayang,” kata Mohd Yahya Mat Sahri.


Pengarang :