BUDAYARENCANA

Bumbung

Oleh Farahin W

Lantai bertakung lagi dan kepala Nik basah dengan liur awan. Seketika dia mengeluh sebelum kembali menyusun sarung tangan getah ke atas mesin. Berulang kali dia melepas keluh dan resah. Rasanya sudah lama dia tidak pulang ke kampung. Hendak makan masakan emak. Atau setidaknya pura-pura membantu ayah di kebun.

“Kau tengoklah. Bumbung kilang ni, sini bocor. Sana bocor”, Ismail tiba-tiba menyampuk. Lubang hidungnya kembang kempis. Tubuhnya yang merangka melayang-layang mendekati Nik.

“Apa kita boleh buat, Mail.”

“Beginilah engkau. Apa boleh buat. Apa boleh buat.”

Nik tak menjawab. Fikirannya kosong dan kelam. Ismail memang begitu. Minggu lepas masuk ke kilang dengan seluar yang terkoyak dan lebam di pipi kiri. Habis satu kilang dimakinya. Katanya, orang bodoh mana diberi kontrak membuat jalan. Belum pun sebulan sudah berlubang di sana sini. Lori-lori bodoh semua macam sial merajai jalan. Ini semua salah SPRM. Ini semua salah SPRM.

Nik tak pernah kisah sebab Ismail memang suka memaki, tapi tak pernah sekali dia menolak meminjamkan duit untuknya. Ismail orangnya baik hati cuma kadang-kadang dia suka membentak dan marah-marah. Kalaupun Ismail diminta bersabar dia akan membebel dan berzikir kalau ini semua salah SPRM. Nik sebaliknya, orangnya jarang memaki. Cuma satu hal, dia mahu pulang ke kampung.

Hujan masih belum berhenti. Semua kawasan yang dibanjiri hujan sudah diletakkan baldi dan besin. Setidaknya menakung hujan yang tak henti-henti masuk. Pemandu-pemandu forklift yang sedang tidur di surau pun masing-masing bangun dengan wajah macam tempe. Berkerut-kerut menahan kantuk. Apalah dosa mereka diganggu tidur sebegini. Dosa “mengular” semasa kerja kah? Atau dosa memaki perdana menteri? Mereka tidak tahu. Mereka duduk bersandar di dinding kilang. Sesekali membuka pagar membenarkan syaitan berlumba masuk.

“Kau tahu, Man. Dari awal lagi, bumbung kilang ni dibiarkan bocor. Pelik aku bumbung kilang pun bocor. Tak masuk dek akal!” Mendengar bebelan teman sekerja, Azman mendongak. Melihat bumbung. Kemudian menunduk menekur lantai.

“Apalah kita boleh buat,” Jaafar tidak semena-mena menjawab. Matanya tetap rapat meski belum pun kembali lena. Di minda, ada anak bini menunggunya pulang. Sudah bersiap-siap dengan makan malam.
Azman mendongak lagi. Ah, kalau ada Ismail sudah tentu dia sudah menyumpah dan memaki-maki.

Barangkali sekarang ini di bahagian pembungkusan semuanya sedang jelak mendengar Ismail buka tempayan. Kalau ini semua salah SPRM. Ini semua salah SPRM. Azman tidak pernah tanya mengapa Ismail sebegitu lancang mulut menuduh SPRM. Azman juga tak mahu tahu. Soal SPRM atau SPM atau STPM atau apa-apa sahaja yang berakhir dengan M tu tidak pernah sekali pun memikat hatinya. Hidup ini kan mudah. Dilahirkan – bersekolah – mendewasa – bekerja – berkahwin – punya anak – mati. Untuk apa hendak difikirkan tentang SPRM. Atau PDRM. Atau PM. Ah, kita orang biasa. Bicaranya kehidupan sahaja sudah cukup.

“Kelmarin aku ada dengar-dengar juga mereka hendak ajukan perkara ini pada pihak atasan,” kak Suzana tiba-tiba duduk bersandar.

“Tentang apa tu kak?”

“Tentang bumbung bocorlah, Man. Kau menung apa? Bukan dari tadi kau bercakap tentang bumbung ke?”

“Sudahlah. Berkali-kali saya dengar hendak dibincangkan, hendak dibicangkan, basah juga kami dalam tidur tadi kak.”

“Tapi, pelik juga kan. Ingatkan rumah-rumah kampung sahaja bumbungnya bocor,” Kak Suzana ketawa. Kedut-kedut di tepi matanya jelas terlukis. Dia menghela nafas panjang sebelum ikut sama merapatkan mata. Di mindanya sekarang cuma ada anak-anak yang sudah dua tahun tidak pulang ke kampung.

Masing-masing diam. Membenarkan orang-orang tersayang berlari dan ketawa di minda mereka. Seketika ia kosong. Seketika kemudian ia kembali ketawa dan menginjak-injak memori. Biasanya waktu rehat begini ada yang tidur. Ada yang makan di kantin. Tetapi hari ini, masing-masing memilih untuk bersandar di dinding kilang. Syukur dinding kilang masih kukuh.

Siren kilang menjerit. Lampu tiba-tiba padam lalu punggung masing-masing tiba-tiba basah. Melompatlah Azman dan Jaafar. Kilang dinaiki air! Kilang dinaiki air! Lubang-lubang di bumbung kilang sudah tidak lagi menolak hujan menerobos masuk. Kilang dinaiki air! Kilang dinaiki air! Seluruh isi kilang menjerit kalau kilang dinaiki air! Kilang dinaiki air! Dinaiki kilang air dinaiki kilang air dinaiki kilang air kilang air dinaiki kilang air dinaiki kilang air dinaiki.

“Kita dah nak tenggelam. Mail, aku tak pandai berenang!” Nik menjerit. Di tangannya ada sarung-sarung tangan yang menunggu giliran pembungkusan.

“Panjat ke bumbung. Panjat!” Ismail ikut menjerit.

Panjat ke bumbung! Panjat ke bumbung! Suasana tidak tenang, semua orang tahu. Mesin-mesin sudah dihentikan operasi. Periuk kuali ditinggalkan dengan makanan masih bersisa. Semua memanjat bumbung. Pekerja-pekerja kilang kini tidak lagi bersama sarung tangan melainkan bersama kudrat yang ada – memanjat bumbung. Kaki ke pusat ke dada ke leher. Semuanya sudah dimakan air. Mereka kini hanyalah kepala-kepala yang bergerak menyelamatkan diri. Air tetap naik. Naik. Naik. Naik. Naik! Naik!! Naik!!! Ismail sedikit pun tidak berucap, apatah lagi Nik. Mereka diam tidak menguit. Awan kini berlumba-lumba meludah ke tubuh mereka. Mereka di atas bumbung. Kebasahan dan kedinginan. Tubuh Nik yang macam Saiful Apek itu terketar-ketar. Bibirnya biru dan matanya kuyu.

Nik kemudian berdiri sedang angin meniupnya bersama hujan. Kata Nik – kepada Tuhanlah kita berserah. Di atas bumbung ini, kita bersama-sama. Tuhan bersama kita. Kata Azman – benarlah kata Nik. Di saat genting ini hanya kepada Tuhanlah kita memohon pertolongan. Lalu, Azman dengan ototnya yang menggigil-gigil digigit kesejukan mengimamkan bacaan Yaasiin. Bergemalah alam ini dengan suara bacaan Yaasiin di atas bumbung.

Berpuluh – beratus orang di atas bumbung kilang. Dan beribu syaitan sedang bertarung di langit. Belum pun fasubhanallazi biyadihi malakutu kulli syaiin wailaihi turjaun, bumbung kilang menganga memakan Nik. Teriakan mereka memuji Tuhan tidak satu pun menghalang bumbung kilang menelan semuanya. Berlarilah mereka ke bumbung yang masih utuh. Mereka saling berpelukan sebelum  PRAAAAAAAAKKKKKKK – bumbung kilang ranap! Semuanya kini tersekat di kerongkong sedang tangan mereka terkapai-kapai memohon pertolongan. Di kiri dan kanan mereka hanya sarung-sarung tangan yang terapung-apung. Lalu ketika mereka mendongak lagi ke atas, bumbung tidak lagi kelihatan. Yang tinggal cuma kematian. Tidak kedengaran suara tuan besar melainkan teriakan Ismail kalau ini semua salah SPRM.


Pengarang :