Pemenang pingat emas Paralimpik 2016, Muhammad Ziyad Zolkepli ketika diwawancara Media Selangor di sebuah kafe di Bandar Baru Bangi, Bangi pada 9 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Dari rentas desa ke lontar peluru, Ziyad redahi getir ke mercu dunia

Atlet Malaysia pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio De Janeiro, Brazil mencatat sejarah apabila julung kalinya meraih emas sejak menyertai temasya orang kelainan upaya (OKU) itu 50 tahun lalu.

Anak jati Kampung Kerdas, Gombak, Muhammad Ziyad Zolkefli mengungguli acara lontar peluru kategori F20 menerusi lontarannya sejauh 16.84 meter yang diiktiraf sebagai rekod dunia pada waktu itu.

Namun ada pihak mempertikai kewajaran ganjaran kepada atlet itu termasuk wang tunai RM1 juta kerana lawannya bukan atlet normal. Muhammad Ziyad mengulas kritikan itu dalam temu bual pada 9 Jun bersama wartawan Amin Ridzuan Ishak dan jurugambar, Remy Arifin.

Jika dilihat daripada luaran, mungkin ada pihak boleh menyimpulkan betapa mudahnya Muhammad Ziyad Zolkefli memenangi pingat emas pada Paralimpik di Rio De Janeiro, Brazil pada 2016. Cabarannya didakwa lebih mudah berbanding temasya Olimpik yang menampilkan atlet normal.

Namun ramai tidak sedar onak duri dilalui jaguh sukan disahkan mengalami masalah pembelajaran ketika di tadika itu.

Untuk menghadapi Paralimpik Brazil, atlet berusia 32 tahun itu dihantar berlatih selama tiga bulan di Leipzig, Jerman. Latihannya cukup keras sehingga mentalnya terkesan apalagi dengan penyakit autisme yang kadang-kala mengganggu fokusnya.

Akui Muhammad Ziyad beliau terfikir untuk pulang selepas seminggu berada di bumi Eropah. Namun beliau menguatkan semangat selepas dipujuk jurulatihnya, Mohd Faizol Harun yang dianggap seperti keluarganya sendiri. Mohd Faizol melatih Muhammad Ziyad sejak atlet itu menyertai kem negara pada 2009.

“Saya rasa macam kaki hilang dan badan sakit sangat, setiap pagi dan petang harus ke gimnasium. Latihan di Malaysia lebih santai dan berbeza 100 peratus dengan di Jerman. Rasa hendak pulang pun ada kerana tidak tahan. Tetapi saya selalu ingatkan diri ‘kalau hendak jadi juara, inilah perjalanan saya harus lalui’,” katanya.

Latihan itu berbaloi apabila lontarannya sejauh 16.84 meter menewaskan pencabar lain sekali gus memadamkan rekod dunia catatan Todd Hodgetts dari Australia sejauh 16.29 meter di Paralimpik London 2012. Dua lagi pingat emas pada temasya itu disumbangkan Abdul Latif Romly (lompat jauh kategori F20) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter T36).

Mereka menerima sambutan wira sebaik menjejak kaki ke tanah air termasuk ganjaran RM1 juta oleh kerajaan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).

Muhammad Ziyad juga menerima hadiah dua rumah termasuk sebuah daripada Kerajaan Selangor dan kereta daripada syarikat swasta.

Sahut cabaran

Di sebalik sanjungan itu, ada pihak mempertikai ganjaran kepada Muhammad Ziyad bersama dua lagi rakannya. Mereka dianggap tidak layak kerana menang bertanding dengan atlet OKU.

“Saya ada baca hantaran negatif di media sosial, paling dingati ada kata ‘Menang dan dapat ganjaran lawan OKU bolehlah, cuba lawan atlet biasa’. Saya geram baca sedangkan mereka tidak tahu betapa susahnya hendak sampai ke tahap itu.

“Saya terus beritahu jurulatih, saya hendak sertai pertandingan lawan atlet normal. Jurulatih kata boleh dan paling dekat adalah Sukan Sea di Kuala Lumpur pada 2017,” ujar Muhammad Ziyad.

Untuk layak bertanding dalam temasya berprestij di Asia Tenggara itu, beliau perlu membuat lontaran sejauh 16 meter iaitu catatan dibuat pemenang pingat gangsa pada edisi Sukan Sea 2015. Berdasarkan rekodnya pada Paralimpik Brazil iatu 16.84 meter beliau sebenarnya sudah layak.

Namun, Muhammad Ziyad memilih kembali ke gelanggang untuk merebut tempat. Lima bulan sebelum Sukan Sea, beliau mencatat lontaran 16.6 meter sekali gus layak secara merit.

Pada Sukan Sea Kuala Lumpur, ‘Badang Malaysia’ itu membuktikan kemampuannya dengan merangkul pingat gangsa, kejayaan besar buat dirinya bertanding atlet normal lain. Dalam edisi di Filipina (2019) dan Vietnam (2022), beliau menyumbang perak dan gangsa.

“Saya jawab kritikan dengan buktikan mampu bersaing dengan atlet normal, mereka harus tahu bukan mudah hendak berjaya. Jangan kata golongan istimewa macam kami ini tiada cabaran,” tegasnya.

Muhammad Ziyad Zolkefli memenangi pingat emas acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dengan jarak 16.84 meter di Sukan Paralimpik Rio, Brazil pada 10 September 2016. Foto REUTERS

Minat Muhammad Ziyad dalam sukan dipupuk sejak berusia tujuh tahun. Autisme menyebabkannya cenderung aktiviti mengeluarkan peluh dan memenatkan.

Pendapatan keluarga tidak seberapa menyebabkan beliau serba kekurangan. Pernah Muhammad Ziyad menyertai pertandingan merentas desa ketika di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Satu dengan memakai kasut yang berat. Sedangkan saingannya mengenakan kasut khusus untuk larian. Dalam keadaan itu pun, beliau memenangi larian itu sekali gus mewakili sekolah bagi menyertai kejohanan peringkat daerah.

Mula bergiat dalam sukan lontar peluru ketika tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia, Muhammad Ziyad menarik perhatian jurulatih kerana tubuhnya tegap serta bertinggian sesuai.

Namun, beliau tiada keyakinan diri dan enggan mewakili sekolah. Setahun kemudian, Muhammad Ziyad mengikuti kelas pendidikan khas di SMK Danau Kota. Di situ, bapanya, Zolkefli Othman memujuknya untuk mewakili sekolah.

Bakatnya digilap dan dipilih mewakili Selangor bagi kejohanan kategori OKU. Sejak itu ‘balingannya’ semakin jauh dan mengecap pelbagai kejayaan. Muhammad Ziyad juga pernah menganggotai kontinjen Kelantan ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah, Kelantan.

Ketika berusia 19 tahun, Muhammad Ziyad dipilih sebagai atlet para negara bawah Majlis Sukan Negara (MSN) selepas menjalani proses pemilihan dengan bersaing dengan empat atlet lontar peluru lain.

Dalam kejohanan pertama iaitu Sukan Para Sea 2009 di Kuala Lumpur, beliau menyumbang tiga perak dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan lontar lembing. Kecemerlangan diteruskan di Sukan Para Asia 2011 di Solo, Indonesia yang menyaksikannya menggondol dua pingat emas.

Nama Muhammad Ziyad semakin dikenali apabila menang pingat gangsa pada Paralimpik di London pada 2012 disusuli status juara Kejohanan Olahraga Dunia JawatanKuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) pada 2013 dan emas pada Paralimpik Brazil.

Bangkit di Paris

Namun hasrat mempertahankan emas pada Paralimpik Tokyo 2021 lebur meski membuat lontaran memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter. Juri membatalkan kemenangannya kerana atlet itu lewat tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan bermula.

Bagi Muhammad Ziyad, detik itu cukup menyedihkannya kerana hasrat menghadiahkan kejayaan buat rakyat Malaysia berkecai. Enggan memikirkan lagi kontroversi itu, beliau berazam merampas semula pingat emas pada Paralimpik di Paris, Perancis dijadualkan 2024.

“Saya masih mampu buat yang terbaik. Memang ada orang kata pencapaian makin merosot bila umur meningkat, bagi saya tidak kerana ketika berusia 26 tahun saya mampu baling 16.8 meter sekarang lebih jauh sehingga 17.2 meter.

“Konsepnya mahu berusaha atau tidak sahaja. Umur saya nanti 34 tahun, tetapi dengan program latihan jalani saya rasa tubuh semakin kuat dan boleh baling lagi jauh,” tuturnya.

Bagi Muhammad Ziyad, kejayaan selama ini disumbangkan keluarganya. Sejak kecil, bapanya, Zolkefli serta ibu, Siti Arfah Abd Rashid banyak memberi galakan semasa membesarkannya bersama tiga beradik lain.

Beliau masih ingat bapanya menyara kehidupan dengan berniaga air balang dan pakaian terpakai di pasar malam termasuk di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Ada kalanya Muhammad Ziyad pun mengikuti bapanya.

“Paling penat berniaga bundle (pakaian terpakai) sebab berat hendak angkat dari satu pasar ke pasar lain. Semua itu kenangan dan beri kekuatan untuk terus berjaya dalam sukan,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Beliau juga tidak melupakan jasa isterinya Zafirah Nasir, 32, yang kadang-kadang perlu menguruskan berseorangan dua cahaya mata, Zuhayra Zafra, 5, dan Tariq Zavier, 3, lantaran Muhammad Ziyad perlu menjalani latihan dan pertandingan untuk tempoh lama.

“Sekarang dia sarat mengandung dan dijadualkan melahirkan anak ketiga kami pada Ogos depan, mungkin dia kena pergi ke hospital tanpa ditemani saya yang berkemungkinan di luar negara untuk bertanding.

“Inilah asam garam sebagai atlet. Mujur ada ahli keluarga boleh membantu meringankan beban,” kata Muhammad Ziyad yang berhasrat menjadi jurulatih suatu hari nanti.


Pengarang :