BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Dari wartawan ke wakil rakyat, ADN KKB majukan ekonomi setempat

Bermula sebagai wartawan ekonomi awal 1990-an dan bekerja rapat dengan ahli politik mencambah minat Lee Kee Hiong untuk terjun dalam bidang itu.

Menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 2013 membuka jalan luas untuk berkhidmat kepada rakyat seterusnya memajukan ekonomi setempat.

Wartawan Norrasyidah Arshad menemu bual Ahli Dewan Negeri (ADN) berusia 56 tahun untuk mengupas usaha membantu segenap lapisan penduduk.

Ceritakan sedikit latar belakang sebelum berkhidmat sebagai wakil rakyat?

Saya orang Melaka dan mendapat pendidikan sekolah rendah hingga tingkatan enam sebelum melanjutkan pelajaran peringkat ijazah ekonomi dan pengurusan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Sewaktu belajar lagi, saya terbiasa dengan kehidupan di Selangor dan Kuala Lumpur. Selepas habis belajar empat tahun, saya bekerja sebagai wartawan ekonomi di akhbar Cina Tong Boo. Masa itu antara 1991 hingga 1993. Kemudian saya terima tawaran kerja dengan Lim Kit Siang sebagai pembantu khas. Saya memang minat politik dari zaman universiti. Jadi, apabila dapat tawaran Kit Siang, saya rasa ini peluang dekatkan diri dengan politik.

Tambahan semasa di UPM, saya antara pemimpin pelajar. Saya dapat tawaran Kit Siang melalui Teresa Kok. Beliau senior saya. Kami kenal ketika program universiti, begitu juga dengan Dato’ Teng Chang Khim. Jadi semasa dengan Kit Siang, saya banyak berhubung dengan ADN dan ahli parlimen. Banyak urusan parti saya kena ikut termasuk pilihan raya umum (PRU) 1995. Jadi pengerusi DAP Melaka minta saya bertanding. Ketika itu, umur saya 29 tahun. Saya bertanding kerusi Duyong. Saya calon wanita DAP pertama di Melaka. Sebelum itu tiada wakil perempuan dalam DAP. Namun, saya kalah pada pemilihan itu.

Justeru, apakah yang dilakukan selepas tewas?

Saya sambung pengajian sarjana di Fakulti Pengurusan Informasi, Universiti Malaya. Kemudian saya ikut suami bertugas di luar negara antaranya Singapura, Filipina dan Thailand. Pulang semula ke Malaysia pada 2003. Ketika di luar negara saya masih mengikuti perkembangan parti dan berhubung dengan rakan-rakan DAP, cuma tidak aktif. Dulu, kami berhubung guna e-mel sahaja. Mereka calonkan saya dalam pemilihan parti. Bermula 2004, saya kembali aktif dan 2008 turun berkempen untuk Lim Guan Eng di Pulau Pinang. Saya juga dilantik ahli Majlis Perbandaran Kajang selama lima tahun sebelum menjadi calon pada PRU 2013. Saya menang dan menjadi ADN KKB.

Apakah detik paling YB rindu ketika bergelar wartawan?

Saya rindu buat liputan tentang bursa saham dan Tan Sri Rafidah Aziz. Beliau sangat rajin dan berdedikasi. Kebanyakan berita saya hasilkan adalah ekonomi. Cabaran dulu tidak macam sekarang. Dahulu susah, tiada internet. Saya juga pernah membuat laporan berita berkenaan Tengku Razaleigh Hamzah. Pernah juga dihantar bertugas ke Singapura dan negara jiran lain.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong menyampaikan cenderahati kepada sukarelawan yang terlibat membantu mangsa banjir dalam Majlis Kesyukuran di Kampung Jawa Kerling pada 16 Julai 2022. Foto Facebook Lee Kee Hiong

Hampir dua penggal berkhidmat, apakah kemajuan di DUN KKB?

Penduduk di sini sangat baik. Mereka berhati mulia. Menerima kehadiran saya dengan senang tanpa fikir atau persoal saya orang luar. Jadi, saya berjanji tidak akan kecewakan mereka. Di KKB, banyak kampung. Ada tujuh kampung tradisi, enam kampung baharu dan enam perkampungan Orang Asli. Kebanyakan mereka golongan berpendapatan rendah. Cuma ada anak-anak mereka yang tinggal di bandar lebih senang. Memandangkan sini tidak banyak industri, jadi pendapatan bulanan mereka tidak stabil.

Ketika Covid-19, kalau mereka hilang sumber pendapatan, saya beri sumbangan supaya mereka tidak terputus bekalan asas. Kita mahu bentuk masyarakat penyayang dan prihatin. Penduduk sini terbuka untuk terima saya tanpa mengira bangsa. Melayu atau India terima saya. Jadi apa saya buat pun tiada masalah. Saya dilihat sebagai anak Malaysia. Ini seronok berkhidmat di kawasan kampung.

KKB terletak di pinggir bandar tetapi menjadi tarikan ramai. Apakah faktor utama tarikan pengunjung?

Di sini kawasan rekreasi, banyak aktiviti yang boleh dilakukan, malah saya sendiri menggalakkannya. Makanan juga banyak yang sedap dan perlu dihebah kepada orang ramai. Untuk galak hebahan, saya jalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). PBT memainkan peranan mereka. Kami cuma bagi sokongan dan tolong dari segi publisiti. Jadi ramai yang berminat. Ini cara kita nak bangunkan dan bantu ekonomi penduduk setempat.

Apakah inisiatif lain untuk memajukan tempat ini?

Kita ada terbitkan buku pelancongan, buku berkenaan burung. Dahulu ada buat pertandingan fotografi sebab di sini pemandangan cantik. Kita buat pameran pada 2013 untuk tunjukkan keindahan KKB dan wujudkan persatuan sejarah. Mereka ini beri sokongan kepada program kita. Ada juga buat program dengan sasterawan negara antaranya Tiga Hari Bersama Pak Samad (Sasterawan Negara Datuk Seri A.Samad Said) pada 2015. Pak Samad juga hasilkan sajak berkenaan KKB. Kita adakan program dua hari bersama Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail pada Disember 2015, Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh juga sertai. Ramai orang seni datang ke KKB untuk berkarya sebab sini tenang, mudah hasilkan idea.

Kita juga pernah adakan Festival Seni Antarabangsa pada 2016 yang disertai 13 negara antaranya China, Taiwan, India, Indonesia dan Bangladesh. Aktiviti ini juga sangat membantu ekonomi penjaja kecil. Apabila buat pertandingan fotografi, ramai datang. Jadi memang membantu ekonomi penduduk. Pada masa sama, kita dapat memperkenalkan KKB kepada orang ramai.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong melawat kawasan dinaiki di Kampung Jawa Kerling pada 18 Jun 2022 dan pasukan sukarelawan menjalankan kerja pembersihan supaya kejadian sama tidak berulang. Foto Facebook Lee Kee Hiong

Ketika Covid-19 melanda, sejauh manakah wabak itu memberi kesan kepada ekonomi penduduk?

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sakit barah rahim. Sekarang masih pantau. Jadi, semasa saya sakit, saya ada pasukan yang banyak membantu. Pasukan ini dengan saya dari 2013 hingga saya disahkan sakit pada 2019. Walaupun sakit, saya masih boleh buat kerja. Pasukan ini yang bantu ketika
pandemik. Mereka kenal pasti penerima, penduduk susah. Mereka hantar bakul makanan. Walaupun saya ada masalah kesihatan, kebajikan penduduk terjaga kerana adanya pasukan ini.

Kita mengagih bakul makanan sehingga kini. Kita bersedia kalau ada penduduk memerlukan. Rasanya dalam RM200,000 dibelanja untuk bakul makanan. Ramai yang terjejas termasuk peniaga kecil. Saya juga ada hulurkan bantuan tunai antara RM1,000 hingga RM2,000 untuk bantu mereka. Sumbangan ini dari peruntukan Kerajaan Negeri. Memandangkan banyak program tidak dapat dibuat ketika wabak, jadi kita guna dana itu untuk bantu kelangsungan hidup mereka.

Berapa ramaikah penerima Iltizam Selangor Penyayang (ISP) untuk kawasan ini?

Ramai yang terima manfaat dari Kerajaan Negeri. Skim Peduli Sihat, contohnya dalam 900 lebih penerima. Kita ada banyak skim, jadi ramai terima. Skim Mesra Usia Emas pun kita agihkan kepada ramai warga emas. Mereka yang layak kita pastikan dapat bantuan, tidak kira kaum dan agama. Semua yang layak, kita
pastikan dapat. Sekarang kita ada ISP iaitu kesinambungan bantuan yang lebih teliti dan ditambah baik. ISP dilancarkan pada waktu sesuai kerana sekarang fasa endemik. Tekanan hidup pun tinggi. Nilai wang lemah, harga penghantaran tinggi menyebabkan banyak barang naik harga. Kalau ikut kuota, seramai 1,200 penduduk KKB akan dapat manfaat ISP. Selangor memang negeri prihatin sejak dari pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim. Prihatin dengan kebajikan dan beri seberapa yang boleh hasil negeri. Ini yang kita mahu.

Bagaimana pula bantuan kepada Orang Asli?

Kita ada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). Kita memang jalin kerjasama dengan mereka. Tidak pernah tinggalkan pun dalam apa-apa aktiviti. Sebelum menghidap barah, saya sedaya upaya hadir dalam mana-mana program penduduk. Pernah pada raya pertama, saya berkunjung ke 16 rumah penduduk. Saya pergi
rumah ke rumah tapi sekarang tidak macam dulu. Dahulu boleh kerja 16 jam sehari tetapi sekarang faktor kesihatan tidak mengizinkan. Apa yang penting saya ikhlas bantu penduduk di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong bersama pelukis mural terkenal Orang Asli Shaq Koyok (kiri) dan abangnya Ramlan Koyok (dua, kanan) yang sedang menyiapkan lukisan mural bagi menambah tarikan di kawasan pekan Kuala Kubu Bharu. Foto Facebook Lee Kee Hiong

Apakah tumpuan YB untuk membantu ekonomi penduduk?

Kita mahukan kegiatan ekonomi yang pelbagai. Sekarang kita nampak berlakunya krisis makanan. Jadi saya lihat bidang pertanian ini penting terutama penggunaan teknologi moden. Penggunaan tanah juga kurang, jadi kita mahu optimumkan tanah dan luaskan teknologi. Jadi, saya berhasrat untuk ajar pertanian moden macam di Thailand dan Taiwan. Kita boleh usahakan ini kerana kehidupan penduduk sini pun ramai bertani. Cuma, kita kena bantu dan memajukan lagi. Kita mahu kenalkan pertanian organik, penggunaan baja tahi ayam. Mereka di sini aktif bercucuk tanam. Ada tanah sendiri cuma kena didik dan beri bimbingan. Mahu kenalkan baja dan teknologi yang lebih baik.

Memandangkan kesihatan YB kurang baik, bagaimana dengan karier selepas ini?

Saya tidak akan bertanding untuk PRU selepas ini. Perkara ini sudah dimaklumkan kepada parti. Sekarang saya cari calon muda untuk ganti. Saya ambil keputusan ini sebab sudah tidak boleh sumbang idea baharu. Saya sudah sampai kemuncak, jadi biar orang muda yang lebih cemerlang untuk majukan KKB ini. Pengundi di sini anggaran dalam 40,000 dan 50 peratus daripadanya Melayu.


Pengarang :