EXCO Pertanian Ir Izham Hashim menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 25 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Dasar pelan agro jamin bekalan makanan negeri mencukupi

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri melaksanakan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang menekankan lima asas bagi jaminan bekalan makanan rakyat.

Asas tersebut meliputi pertanian bernilai tinggi, pertanian moden, rantaian bekalan makanan lengkap, pembangunan agropreneur dan pelancongan agro, jelas EXCO pertanian.

Menurut Ir Izham Hashim, inisiatif tersebut dirangka bagi meningkatkan hasil pengeluaran tani dengan memenuhi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

“Pada masa sama, PeTA dapat meningkatkan sumbangan sektor pertanian negeri kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan peluang pendapatan kepada golongan muda menerusi latihan dan bimbingan,” katanya.

Bercakap pada sesi soal jawab sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, wakil rakyat Pandan Indah menambah pelan tersebut dibahagikan kepada sembilan kluster agro bagi menjayakannya.

Ia merangkumi pertanian, komuniti, pusat kecemerlangan, agropreneur Selangor, pelancongan, agro niaga, pusat pengumpulan data pertanian serta Smart Selangor Agro Park dan Agro Farm.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata tanah terbiar di seluruh negeri akan dijadikan tapak pertanian untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan menampung keperluan rakyat.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, tanah seluar 30 ekar di Bukit Cheeding, Banting antara yang dikenal pasti untuk diusahakan sebagai tapak tanaman kontan seperti sayuran, cili dan kelapa.


Pengarang :