Orang ramai keluar membeli barangan keperluan ketika tinjauan di sebuah pasar raya sekitar Kuala Lumpur pada 22 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dasar tangani harga barang lebih baik ketika HARAPAN perintah

SHAH ALAM, 13 JULAI: Biarpun hanya 22 bulan memerintah negara, sebahagian dasar Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam isu pengangkutan dan kos sara hidup jauh lebih berkesan berbanding sekarang.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu wanita juga antara yang diperjuang selain perkara membabitkan sensitiviti orang Melayu yang diteliti dengan jitu sebelum dilaksanakan.

“Dua puluh dua bulan ada yang positif. Umpamanya bidang pengangkutan bawah Anthony Loke. Kita lihat pendedahan oleh menteri pertahanan, pertama kali orang tahu tentang kepincangan dan rasuah.

“Kita lihat cara (Datuk Seri) Saifudin Nasution Ismail menangani isu kos sara hidup juga jauh lebih berkesan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Media Selangor pada 4 Julai.

Menyentuh berkenaan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (Icerd), Anwar berkata ia perlu diperjelas dengan betul kerana wujud tanggapan menekan Islam dan hak Bumiputera.

Pengerusi HARAPAN itu menambah beliau sendiri meminta perkara tersebut dirundingkan semula bagi mengelak kegelisahan rakyat terutama orang Melayu.

“Tentulah semasa itu perdana menteri sangat tidak senang dengan keputusan saya, tetapi itu sebagai contoh bagaimana elit bandar ini fikir agenda itu penting.

“Tidak langsung fikir tentang perasaan, kegelisahan rakyat. Dia mungkin benar tapi penjelasan harus diberi dahulu. Jangan difikirkan kamu tahu dan dunia antarabangsa sudah terima,” katanya.


Pengarang :