Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 28 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dewan Rakyat: Ucapan gulung, undi RUU antilompat hari ini

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Persidangan Dewan Rakyat hari ini bakal tertumpu kepada ucapan penggulungan dan pengundian bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dijangka menggulung perbahasan rang undang-undang itu pada 2.30 petang.

Rang undang-undang itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang rasmi Parlimen, perbahasan bagi rang undang-undang itu akan disambung bagi hari kedua selepas sesi soal jawab lisan.

Seramai 41 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada perbahasan rang undang-undang itu semalam.

Soalan berhubung pembangunan masyarakat Orang Asli bakal diajukan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri yang mahu Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan perkembangan Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli.

Pada sesi soal jawab pula, Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik mengikut negeri bagi kes pinjaman wang tidak berlesen seperti Along, “scammer”, dan judi dalam talian di Malaysia.

Turut tersenarai, soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkaitan langkah kementerian dalam memastikan bekalan ayam dan telur ayam tidak terputus dan mampu dibeli rakyat dengan harga berpatutan.

Selain itu, isu vaksin COVID-19 akan diajukan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah kanak-kanak yang belum mendapat suntikan vaksin dan inisiatif kerajaan untuk memastikan semua kanak-kanak mendapat suntikan vaksin COVID-19.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos.

— BERNAMA

 


Pengarang :