Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) melihat peta sempadan selepas menandatangani Penjanjian Sempadan Darat antara Negeri Selangor dan Negeri Sembilan di Hotel Sama Sama, Sepang pada 4 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Dokumen pemeteraian sempadan bantu pembangunan Sepang, Semenyih, Nilai

SEPANG, 5 JULAI: Langkah kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan memuktamadkan sempadan kedua-dua negeri bakal melonjakkan pembangunan di kawasan berkenaan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata pembangunan dapat dilihat menerusi pembukaan bandar baharu yang bakal merancakkan lagi kegiatan ekonomi penduduk setempat.

“Sebagai contoh pembukaan kawasan perindustrian dan perbandaran di sempadan seperti Sepang, Semenyih dan Nilai kerana ia boleh dioptimumkan sehingga ke had jajaran yang dimuktamadkan.

“Pembangunan juga dapat dilihat dengan adanya bandar baharu yang dijangka bakal merancakkan lagi kegiatan ekonomi setempat yang turut menyumbang kepada peluang pekerjaan dan taraf hidup rakyat,” katanya.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata demikian ketika sidang media majlis menandatangani Perjanjian Darat Di Antara Negeri Selangor dan Negeri Sembilan di Hotel Sama-Sama di sini, semalam.

Justeru, beliau menyeru negeri-negeri lain mencontohi Selangor dan Negeri Sembilan dalam memuktamadkan sempadan kerana banyak kawasan bersempadanan boleh dibangunkan.

Mengulas ketidakhadiran Menteri Besar Negeri Sembilan, beliau berkata Dato’ Seri Aminuddin Harun tidak dapat hadir atas faktor kesihatan dan perjanjian itu akan disempurnakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, Jabatan Ukur dan Pementaan Malaysia (Jupem) akan menguruskan perkara berkenaan bagi melengkapkan proses jajaran sempadan.

“Dokumen muktamad seumpama hari ini mesti ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Menteri Besar. Namun di saat-saat akhir Dato’ Seri Aminuddin Harun tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

“Jadi yang tandatangani hari ini hanya di pihak Selangor, selepas ini Jupem akan uruskan dan Menteri Besar Negeri Sembilan akan tandatangani untuk jadikan dokumen ini muktamad. Hanya tunggu masa, tidak timbul isu apa-apa kerana beliau tidak hadir kerana masalah kesihatan,” katanya.

Sementara itu, kerja-kerja penandaan dan pengukuran sempadan darat antara kedua-dua negeri bermula 5 Mei 2016 dan siap sepenuhnya pada 17 Mac 2018 melibatkan jarak 111.9 kilometer.


Pengarang :