Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid bercakap kepada media selepas Majlis Penganugerahan “Pride Of Workmanship” kepada Frontliners Polis oleh Kelab Rotary Malaysia di Mes Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perak, Ipoh pada 2 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua tentera maut dihempap pokok ketika operasi di Hutan Belum

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut setelah dihempap pokok sewaktu menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak dalam insiden pada awal pagi semalam.

TDM dalam kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa terbabit ialah Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, yang merupakan anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada kira-kira 2.30 pagi di sebuah pangkalan sementara dalam kawasan operasi pasukan tersebut yang telah dilanda ribut kencang.

“Setelah keadaan tenang pada kira-kira 2.50 pagi, pemeriksaan keselamatan dibuat sebelum mendapati kedua-dua anggota telah meninggal dunia akibat ditimpa pokok,” menurut kenyataan itu.

TDM menzahirkan ucapan takziah kepada Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir dan Nurummi Amirah Chepa, yang masing-masing merupakan isteri kedua-dua anggota tentera serta seluruh ahli keluarga mangsa.

“TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dalam memastikan kebajikan keluarga mereka terjaga,” katanya.

Jenazah Mohd Kamal akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah manakala jenazah Muhammad Zaki pula di Chuping, Perlis.

Di Ipoh, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian kedua-dua anggota tentera pada 11.50 pagi.

“Kedua-dua mangsa telah dikeluarkan dari kawasan operasi tentera dengan menggunakan helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia ke 2 RAMD, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

“Mangsa dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang bagi tujuan bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata polis Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa.

– BERNAMA


Pengarang :