Orang ramai menyerbu jualan murah barangan asas ketika Karnival Jualan Ehsan sempena Aidiladha anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di tapak bazar Ramadan Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Tanjung Sepat beri subsidi untuk program jualan murah esok

SHAH ALAM, 6 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat akan memberikan subsidi bagi barangan keperluan dalam Karnival Jualan Ehsan sempena Aidiladha di Dataran Pantai Batu Laut, esok.

Ahli Dewan Negerinya, Borhan Aman Shah berkata subsidi bernila RM2 itu disediakan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN itu untuk pembelian setiap unit ayam, telur ayam dan daging pejal.

“Sila sediakan wang kecil dan secukupnya untuk memudahkan dan melancarkan pembelian. Siapa cepat dia dapat,” katanya menerusi Facebook.

Pemberian subsidi RM2 itu menjadikan harga ayam RM13 seekor berbanding asal RM15, telur ayam gred B RM10 sepapan (RM12) dan daging pejal RM33 sekilogram (RM35).

Manakala dua barangan lain pada harga biasa iaitu minyak masak RM2 (sepaket) dan ikan sejuk beku RM8 (sepaket).

Subsidi disediakan adalah kali kedua kerana sebelum ini PKM DUN Tanjung Sepat turut memberikannya pada jualan murah sempena Aidilfitri pada 28 April lalu.

Bagaimanapun subsidi pada waktu itu hanya membabitkan ayam dan telur dengan peruntukan RM6,000 bagi 2,000 ekor ayam dan 1,000 papan telur.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menganjurkan jualan murah barangan asas empat hari berturut-berturut di lima lokasi mulai semalam sempena Aidiladha.


Pengarang :