EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 25 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Elak kes terbatal, mahkamah syariah diberi kuasa urus tuntutan dalam talian

SHAH ALAM, 25 JULAI: Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan dua rang undang-undang enakmen pentadbiran agama Islam dan tatacara mal mahkamah selepas mendapat persetujuan wakil rakyat, hari ini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni  berkata tujuan pindaan tersebut adalah untuk memberi kuasa kepada mahkamah syariah menjalankan prosiding kes menerusi komunikasi jarak jauh.

“Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), sebanyak 3,733 kes di mahkamah dijalankan secara dalam talian iaitu bicara atau pengurusan (1,740 kes), wakalah (1,184), pentadbiran afidavit (659) dan sulh (150).

“Dengan kelulusan rang undang-undang ini, kes-kes terdahulu yang dilakukan di mahkamah syariah negeri ini diperakui sah. Sekiranya tidak diluluskan semua kes direkodkan ini terbatal serta terpaksa diulang semula,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, dua rang undang-undang itu dibentang Mohd Zawawi dan dibahaskan tujuh Ahli Dewan Negeri (ADN) antaranya Datuk Imran Tamrin (Sungai Panjang), Azmizam Zaman Huri (Pelabuhan Klang) dan Saari Sungib (Hulu Kelang).

Beliau ketika membentangkan enakmen itu memaklumkan Jakess menghadapi kekangan prosiding mahkamah secara fizikal disebabkan penularan Covid-19 sehingga menyebabkan kes tertangguh.

“Pindaan RUU itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang bersidang pada 25 Januari lalu untuk dipersembah kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“RUU ini dipersembah dan diperkenan Sultan Selangor pada 7 April selaras dengan subseksyen 22(5) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003. Baginda bersetuju dan berkenan RUU ini dibentang dalam sidang DNS kali ini,” katanya.


Pengarang :