AGENDANASIONAL

Empat daerah di Selangor, Kuala Lumpur diramal hujan lebat hingga petang

SHAH ALAM, 28 JULAI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 4 petang ini.

Agensi itu memaklumkan menerusi Facebook cuaca tersebut diramal melanda Sabak Bernam, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor serta Kuala Lumpur.

Cuaca sama diramal melanda Kuala Lumpur, Perak (Bagan Datuk dan Hilir Perak), Pahang (Bera dan Rompin), Negeri Sembilan (Jempol dan Tampin), Melaka (Jasin) dan Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Kluang, Mersing dan Kulai).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :