Kumpulan pertama sukarelawan SERVE bergambar sebelum menyertai Misi Selangor Penyayang: Bantuan Pascabanjir Baling, Kedah di dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

300 sukarelawan daftar misi bantuan banjir, sedia digerak ke lokasi bencana

SHAH ALAM, 6 JULAI: Lebih 300 ahli Sukarelawan Selangor (Serve) mendaftar untuk menyertai misi bantuan pascabanjir di Baling, Kedah dalam tempoh dua hari.

EXCO pembangunan modal insan berkata bagaimanapun hanya 20 sukarelawan digerakkan ke lokasi terjejas bagi fasa pertama operasi bermula hari ini sehingga Jumaat.

Mohd Khairuddin Othman menjelaskan sukarelawan lain akan menyusul secara berperingkat, namun mengikut keadaan dan keperluan semasa.

“Difahamkan seramai 1,400 keluarga terjejas di sana, jadi Serve tidak ketinggalan menyertai misi bantuan berbekalkan pengalaman yang ada sebelum ini.

“Sebanyak 12 lokaliti terjejas membabitkan satu daerah, mungkin sekitar 200 hingga 300 sukarelawan memadai untuk selesaikan masalah di sana.

“Matlamat kita adalah untuk membersihkan lumpur, memudahkan komunikasi dan segerakan penempatan semula mangsa banjir di rumah masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui selepas acara pelepasan konvoi misi bantuan pascabanjir di dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini, yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin turut mengajak lebih ramai belia negeri ini menyertai Serve bagi mencari pengalaman membantu mangsa bencana.

“Bagaimanapun kita tidak mahu ada sukarelawan yang tiada hala tuju tanpa fokus kawasan yang memerlukan perhatian,” katanya.

Pada 29 Ogos tahun lalu, sekumpulan ahli Serve dihantar ke Yan, Kedah bagi membantu mangsa banjir kilat akibat tragedi kepala air.

 


Pengarang :