Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Sharipah Marhaini Syed Ali (kiri) meninjau galeri pameran di majlis perasmian Hari Terbuka @ PJ Eco Recycling Plaza sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 dan ulang tahun ke-16 Bandaraya Petaling Jaya di PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya pada 9 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: IklimSelangor bantu rangka dasar pembangunan lestari, pantau pelaksanaan projek

SHAH ALAM, 16 JULAI: Kerajaan Negeri komited untuk menerajui usaha memelihara alam sekitar daripada berdepan kemusnahan kata EXCO Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

Bagaimanapun, Hee Loy Sian berkata kerjasama pemegang taruh amat perlu bagi merangka agenda perubahan iklim negeri dan mengarus perdana isu itu dalam rancangan pembangunan serta pelaksanaan dasar.

Beliau berkata, menyedari impak perubahan iklim kepada rakyat, Kerajaan Negeri meluluskan penubuhan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor atau IklimSelangor pada 18 Mei lalu.

“IklimSelangor berperanan sebagai badan penasihat bagi membantu Kerajaan Negeri dalam merancang, melaksana dan memantau projek, selain cadangan penyelesaian isu yang timbul berkaitan perubahan iklim dan alam sekitar.

“Selain itu, ia juga membantu mengenal pasti tindakan secara bersepadu bagi mencapai matlamat pembangunan lestari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata kemajuan teknologi dan era Revolusi Perindustrian 4.0 juga menjadi pemangkin kepada usaha memulihara ekosistem negeri sekali gus mewujudkan masa depan yang lebih selesa.

“Kerajaan Negeri berharap rakyat Selangor dapat memberikan sokongan terhadap pelaksanaan dasar perubahan iklim dan melaksanakan tanggungjawab kita untuk melindungi Bumi ini demi generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, IklimSelangor akan dianggotai wakil dari jabatan dan agensi persekutuan serta negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pakar akademik dan teknikal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil rakyat.


Pengarang :