EXCO Perumahan Rodziah Ismail (dua, kanan) dan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan banjir sempena Misi Selangor Penyayang 2.0 di Surau An Nur Taman Mesra Kupang, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Misi bantuan diterus masa depan, tanda prihatin mangsa bencana

BALING, 21 JULAI: Misi Selangor Penyayang bagi membantu mangsa terjejas akibat bencana di seluruh negara akan diteruskan pada masa depan.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata misi bantuan tersebut sebagai tanda prihatin terhadap mangsa yang ditimpa musibah selain meringankan beban.

“Kalau kita lihat apabila berlaku banjir biasanya mangsa akan kehilangan banyak benda penting seperti tempat berteduh mahupun perkakas dapur.

“Insya-Allah, kita akan teruskan misi beri bantuan kepada mangsa di tempat lain, namun kita berdoa semoga tiada lagi musibah atau bencana besar berlaku di negara ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan Misi MSP 2.0 kepada 163 penduduk terkesan bah di Surau An Nur Taman Mesra Kupang di sini hari ini.

Sumbangan wang tunai RM100, tilam, selimut dan keperluan kanak-kanak turut disampaikan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah.

Misi kali kedua itu turut disertai 150 anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) dari 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), Sukarelawan Selangor dan Team Selangor.

Pada 6 Julai, misi pertama disertai 262 anggota PBT dan sukarelawan membantu membersihkan puluhan kediaman mangsa banjir dengan 90 tan sampah pukal dikeluarkan dari kawasan tersebut.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada 4 Julai lalu menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan dan mengorbankan tiga individu termasuk wanita hamil.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir sempena Misi Selangor Penyayang 2.0 di Surau An Nur Taman Mesra Kupang, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :