Sukarelawan Selangor (Serve) bersama kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membersihkan kediaman mangsa banjir di Baling, Kedah pada 8 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO serah tunai, bantuan asas kepada mangsa bah Baling

SHAH ALAM, 20 JULAI: Tiga EXCO bersama pihak berkuasa tempatan menyertai Misi Selangor Penyayang 2.0 ke Baling bagi menyerahkan bantuan kepada mangsa bah yang terkesan awal bulan ini.

Misi diketuai EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman disertai EXCO Perumahan Rodziah Ismail dan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah.

Sumbangan meliputi tunai RM30,000 kepada Pejabat Daerah dan Tanah Baling, RM40,000 kepada 400 ketua isi rumah dan alatan asas kediaman seperti tilam, bantal juga selimut bernilai RM30,000.

Mohd Khairuddin bersama empat PBT dan sukarelawan akan mengagihkan bantuan ke Kampung Sadek, Kampung Raja dan Kampung Kupang manakala Rodziah ke Taman Mesra dan Kampung Tanjung Merbau.

Sementara Borhan pula akan menyerahkan bantuan kepada Kampung Jerai dan Kampung Seberang Jaya. Turut serta dalam misi itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Sebelum ini, misi pertama membabitkan 262 anggota PBT dan sukarelawan membantu membersihkan kediaman mangsa banjir dengan membawa lori dan pam air bertekanan tinggi.

Sebanyak 72 kediaman berjaya dibersihkan sepanjang dua hari misi dengan 90 tan sampah pukal dikeluarkan dari kawasan tersebut.

 


Pengarang :