Penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) menjimatkan masa pengguna yang tidak perlu lagi membeli kupon bergores mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengguna makin selesa guna parkir digital, ejen dilantik tidak terima aduan

SHAH ALAM,15 JULAI: Pelaksanaan sistem bayaran parkir secara digital (e-kupon) di negeri ini berjalan lancar serta menerima maklum balas positif pengguna, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau rungutan orang ramai daripada ejen e-kupon yang dilantik sejak sistem e-kupon berkuatkuasa pada 1 April lalu.

“Seramai 455 ejen e-kupon antaranya kedai serbaneka dilantik bagi membantu masyarakat dan menjamin kelancaran pelaksanaan e-kupon melalui aplikasi Smart Selangor Parking (SSP).

“Setakat ini tidak ada laporan diterima. Kita percaya tiada masalah besar dan sistem berjalan lancar kerana orang ramai sudah mula menyesuaikan diri dengan sistem ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han yang juga wakil rakyat Kinrara memaklumkan sejumlah RM49,680 kupon parkir gores ditukar kepada e-kupon di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Berkuat kuasa 1 April, bayaran parkir kereta seluruh PBT di Selangor menggunakan sistem e-kupon sepenuhnya.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi SSP di Google Playstore, AppStore atau Huawei Store bagi memudahkan urusan pembayaran.

Pemegang kupon kertas gores boleh memindahkan baki nilai kupon kepada kredit dengan mendaftar sebagai pengguna SSP.

 


Pengarang :