EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 29 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI  
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Tarif air baharu pengguna bukan domestik mulai 1 Ogos

SHAH ALAM, 29 JULAI : Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menaikkan tarif bekalan air baharu berkuat kuasa 1 Ogos ini melibatkan kategori pengguna akaun bukan domestik, rumah ibadat dan kapal.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berkata kadar purata RM0.20 setiap meter padu itu disifatkan masih rendah selain tidak melibatkan pengguna domestik.

“Untuk penggunaan bukan domestik seperti di komersial dan industri iaitu 0 hingga 35 meter padu, kenaikan daripada RM2.07 kepada RM2.62. Jika lebih 35 meter padu pula kiraannya RM2.28 kepada RM2.86.

“Untuk rumah ibadat kita kira menggunakan kadar rata iaitu RM0.46 sen meningkat kepada RM0.58 sen untuk setiap meter padu. Manakala, kategori kapal RM4.23 setiap meter padu kini diselaraskan menjadi RM7,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media bagi mengulas berhubung keputusan persekutuan yang bersetuju mengekalkan tarif bekalan air bagi kategori domestik di semenanjung dan Labuan berikutan peningkatan kos sara hidup di Dewan Annex di sini, hari ini.

Izham menjelaskan pelarasan tarif air itu perlu bagi membantu Air Selangor khususnya dari segi perbelanjaan modal (Capex) yang tinggi untuk meneruskan kelangsungan operasi syarikat tersebut.

Menurutnya, pelarasan itu juga sedikit sebanyak membantu syarikat tersebut untuk membina loji rawatan air baharu dan melaksanakan penggantian paip serta peralatan usang yang menelan belanja tinggi.

“Banyak kos ditanggung Air Selangor seperti kos perbelanjaan modal tinggi antara RM30 bilion untuk 30 tahun. Kami juga melaksanakan penggantian paip dengan kos sekitar RM150 juta setahun. Ini tidak termasuk lagi kos operasi lain.

“Bil elektrik melibatkan RM300 juta setahun. Bahan-bahan kimia untuk rawatan air sekitar RM80 juta ke RM100 juta setahun. Kos (operasi) ini begitu tinggi namun kadar tarif kita adalah antara yang terendah di rantau ini,” katanya.


Pengarang :