Bulan penuh dirakam semasa fenomena yang dikenali sebagai ‘supermoon’ merah jambu, di atas langit di San Salvador pada 7 April 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Fenomena ‘supermoon’ dijangka berlaku petang esok

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Rakyat Malaysia sekali lagi berpeluang menyaksikan fenomena supermoon, yang dijangka berlaku pada 5.09 petang esok.

Agensi Angkasa Lepas Malaysia (MYSA), menerusi portal rasminya mengumumkan fenomena itu akan berlaku berikutan kedudukan bulan berada paling hampir dengan bumi, yang disebut sebagai perigee, dengan jarak 357,263 kilometer (km).

“Bulan beredar mengelilingi bumi dalam orbit elips dengan purata kesipian 0.0549. Oleh itu, jarak purata bulan dari bumi (pusat ke pusat) berbeza-beza pada setiap masa, dengan jarak purata terdekat (perigee) ialah 363,396 km dan jarak purata terjauh (apogee) ialah 405,504 km.

“Semasa supermoon, bulan purnama boleh muncul sehingga tujuh peratus lebih besar daripada bulan purnama biasa, dan kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah daripada ‘mikromoon’,” katanya.

Fenomena supermoon terbaru berlaku pada 14 Jun lalu dan imej tersebut berjaya dirakam oleh sistem Teleskop Balai Cerap Negara Langkawi. – BERNAMA


Pengarang :