SHAH ALAM, 14 JULAI: Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan memberi semangat baru kepada masyarakat untuk kembali menilai saat kesukaran memperoleh kemerdekaan.
Dato’ Menteri Besar berkata menerusi filem arahan Syamsul Yusof itu ia memberi pendedahan kepada orang ramai khususnya generasi muda kepentingan mempertahankannya.
“Kita bukannya menerima kemerdekaan dengan mudah, sebaliknya ada perjuangan dibelakangnya yang terlalu panjang dan lama.
“Aspek mempertahankan bangsa, agama dan tanah air yang mengambil masa ratusan tahun melibatkan pertumpahan darah serta keringat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata demikan pada tayangan filem berkenaan bersama 100 anak yatim dari lima pertubuhan amal anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) di TGV Central I-City di sini, malam tadi.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/07/PSX_20220713_212752-500x333.jpg)
Amirudin berkata walaupun filem berkenaan bukan dokumentari sejarah tetapi berjaya memberi nilai penting kepada masyarakat untuk bersatu padu.
“Ia mengingatkan kita untuk pertahankan negara ini bersama-sama selepas melaluinya penuh berliku,” katanya.
Pada majlis diatur Padat, beliau turut menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap lima pertubuhan anak yatim berkenaan.
Setakat kelmarin, filem arahan Syamsul Yusof itu telah meraih kutipan RM71 juta dalam tempoh 21 hari tayangan.