Foto Facebook Mat Kilau The Movie
AGENDANASIONAL

Filem Mat Kilau raih RM90 juta selepas 33 hari tayangan

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang mencetuskan fenomena meraih jualan tiket RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara, Singapura dan Brunei.

Berkongsi data terbaru jualan tiket, pengarah Syamsul Yusof berkata filem tersebut mencatat kutipan tertinggi bagi kategori tempatan dan antarabangsa selepas Munafik 2 dan Avengers: End Game, lapor portal Berita Harian.

“Semua berlaku dengan izin Allah SWT. Air mata syukur… tiada kata melainkan Alhamdulillah. Saya dan seluruh produksi amat terharu dengan pencapaian terkini.

“Mengejutkan juga karya ini terus menjadi filem nombor satu dalam carta ‘box office’ mingguan untuk lima minggu berturut-turut mengenepikan filem besar Hollywood,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada penonton yang masih memberi kepercayaan kepada karya Mat Kilau dan semua filem arahannya.

“Sejak filem pertama sehingga sekarang, sokongan penonton tidak berbelah-bahagia. Insya-Allah, moga saya terus diberi ilham untuk pengarahan filem akan datang.

“Sudah terbukti beberapa kali, jadi karya filem Melayu masih boleh berdiri di bumi sendiri. Ini harapan baru sinema tempatan dan buat semua anak seni tanah air. Ayuh semua pengkarya filem, kita bersatu demi sama-sama memajukan industri seni Malaysia,” katanya.

Sejak ditayangkan 23 Jun lalu, filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd diterajui Datuk Adi Putra yang menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau ini terus menjadi pilihan ramai.

Selain Adi, filem Mat Kilau turut dibintangi Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).

Tidak ketinggalan, Datuk Rahim Razali, Nam Ron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.


Pengarang :