Sumber Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Firma penyelidik jangka OPR naik kepada 2.75 peratus menjelang hujung tahun

SHAH ALAM, 12 JULAI: Kadar dasar semalaman (OPR) diramal mencecah kepada 2.75 peratus dengan kenaikan 50 mata asas (bps) lagi menjelang akhir tahun, menurut Fitch Solutions.

Firma itu dalam satu nota penyelidikannya berkata Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah itu bagi membendung inflasi dan menstabilkan ringgit.

Ia selepas bank pusat itu menaikkan kadar rujukan penetapan pinjaman dan tabungan sebanyak 25 bps atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus pada awal bulan ini.

Mengikut Fitch Solutions, walaupun inflasi negara kekal terkawal berbanding beberapa negara, namun ringgit kekal tertekan dengan risiko penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus menyebabkan BNM memilih untuk menaikkan kadar faedah ke paras normal yang akomodatif.

“Ekonomi kekal di landasan untuk mencatat pemulihan yang kukuh. Ia sepatutnya menyediakan ruang perubahan yang mencukupi kepada bank pusat untuk menormalkan dasar monetarinya.

“Kami menjangkakan BNM akan menaikkan lagi kadar dasarnya sebanyak 50 bps kepada 2.75 peratus menjelang akhir 2022, selepas ia meningkat sebanyak 25 bps kepada 2.25 peratus pada mesyuaratnya pada 6 Julai lalu,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.


Pengarang :