Qaseh Rania dijemput kelab divisyen 1 Croatia, NK Osijek berlatih di padang kelab berkenaan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Gadis 12 tahun dirisik kelab bola sepak Croatia

Oleh NAZLI IBRAHIM dan MUSTAKIM RAMLI

Sejuk hingga mencecah tulang sumsum. Itu dirasai Qaseh Rania Khairul Najib sebaik melangkah ke padang latihan kelab bola sepak wanita NK Osijek FC di Osijek, Croatia, Jun lalu.

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu mengaku gemuruh melihat pemain-pemain dari negara yang pernah ke pentas akhir Piala Dunia berlatih, sedangkan dia hanya dari negara yang kurang dikenali dalam dunia bola sepak.

“Masa masuk padang Rania rasa takut sebab saiz mereka besar dan bergerak laju. Rania kuatkan semangat, masuk padang dan bagi tentangan yang terbaik. Alhamdulillah boleh lawan.

“Selain itu cuaca di sana sangat sejuk walaupun musim panas,” kata anak bongsu tiga beradik itu.

Sepanjang dua minggu mengikuti program di Osijek, Qaseh Rania sukar berkomunikasi memandangkan barisan pemain tidak bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Waktu main Rania hanya mampu cakap ‘ball’, ‘go’,’opponent’, ‘marking’. Rania rasa mampu cakap itu saja sebab yang lain mereka langsung tak faham,” katanya.

Kehebatan Qaseh Rania dalam bola sepak wanita di negara ini mencuri tumpuan pencari bakat dari Eropah dan dijemput kelab divisyen 1 Croatia, NK Osijek berlatih di padang kelab berkenaan.

Pelajar darjah enam Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 2 ini ke Croatia pada 1 Jun lalu bersama abangnya, Luth Qayyim Khairul Najib, 15 dan tujuh jurulatih Sime Darby FC.

Selesai program latihan 10 hari, peminat setia Selangor FC itu memikat hati pengurusan NK Osijek dan presiden kelab itu ingin mengambilnya sebagai pelatih.

“Presiden kelab sendiri cakap minat ambil Qaseh Rania bersama kelab tetapi kena tunggu dua tahun lagi kerana peraturan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) menyatakan umur minimum 14 tahun barulah boleh tandatangan kontrak.

“Sementara menunggu umur 14 tahun, bila-bila masa Qaseh Rania dipelawa datang ke kelab NK Osijek untuk berlatih misalnya cuti sekolah,” kata bapa kepada Qaseh Rania, Khairul Najib Ibrahim ketika ditemui Selangorkini pada 2 Jun.

Kemampuan mengawal bola dan mengekang lawan selain fizikal kanak-kanak perempuan itu dianggap luar biasa oleh ketua pemantau yang menyaksikan dia menjalani latihan bersama skuad remaja serta skuad senior NK Osijek FC.

Dapat kepercayaan

Qaseh Rania bermain sebagai pertahanan tengah dan mendapat kepercayaan jurulatih pasukan wanita negara untuk berlatih bersama pemain kebangsaaan wanita berikutan gaya permainannya pada posisi itu lebih matang berbanding usia.

Malah di Sime Darby FC, beliau bermain bagi kategori wanita bawah 14 tahun walau usia hanya 12 tahun.

Sebelum menyertai Sime Darby FC, beliau pernah mewakili pasukan senior KL Sunbears FC ketika berusia 11 tahun dan muncul sebagai pemain termuda kejohanan Liga Bola Sepak Wanita Kuala Lumpur 2021.

Qaseh Rania yang menjadikan pemain kebangsaan Arif Aiman Hanapi sebagai mentor, turut diberi kepercayaan oleh jurulatihnya untuk mewakili pasukan lelaki.

Antaranya ketika umur 10 tahun, beliau bermain bersama pasukan bawah 12 tahun lelaki dalam kejohanan 2020 Anfield Cup di Selangor.

Pada usia berkenaan juga, Qaseh Rania mewakili pasukan lelaki bawah 12 tahun dalam kejohanan TSS Cup pada 2020 dan lelaki bawah 10 tahun dalam Suparimau Football Tournament.

Minat bersukan

Mengimbas kembali pembabitan dalam bola sepak, Qaseh Rania seorang yang aktif dalam sukan dan kokurikulum sekolah.

Pada awalnya, Khairul Najib memasukkan Qaseh Rania ke sebuah akademi badminton susulan minatnya yang tinggi terhadap sukan itu.

“Di akademi itu Qaseh Rania dilatih jurulatih akademi yang seorang bekas pemain badminton Indonesia nampak bakatnya dan beritahu saya bakat Qaseh Rania boleh digilap untuk pergi jauh dalam badminton.

“Sampailah suatu hari tiba-tiba dia beritahu enggan main badminton lagi. Saya ikut keputusan dia,” kata Khairul Najib.

Selepas itu Qaseh Rania kerap bermain bola sepak bersama rakan abangnya sehingga anak gadis itu memberitahu bapanya, dia serius mahu bermain bola sepak.


Pengarang :