AGENDANASIONAL

Gaji minimum RM1,500, MTUC dakwa ada majikan gagal patuh

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendedahkan terdapat majikan tidak mematuhi pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Presidennya Mohd Effendy Abdul Ghani berkata aduan turut diterima mengenai tindakan majikan memotong elaun bulanan tetap pekerja untuk dimasukkan dalam gaji pokok, lapor portal Berita Harian.

“Tindakan segelintir majikan itu bagi memenuhi pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan. Ini jelas satu pelanggaran hak pekerja dan memerlukan tindakan tegas Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“MTUC sudah memaklumkan kepada pekerja yang membuat aduan supaya memuat naik aplikasi digital yang diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia iaitu Working for Workers (WFW),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 28 April, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei diwartakan sebagai Warta Kerajaan Persekutuan.


Pengarang :