Pengunjung melihat karya-karya pelukis pada majlis perasmian Pameran Sembuh di UiTM Shah Alam pada 6 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Galeri Shah Alam belanja lebih RM250,000 rancak aktiviti seni

SHAH ALAM, 6 JULAI: Galeri Shah Alam membelanjakan lebih RM250,000 daripada RM1 juta bantuan geran Kerajaan Negeri bagi merancakkan aktiviti kesenian di Selangor.

Pengarahnya Alina Abdullah berkata pelbagai aktiviti dianjurkan merangkumi pameran, bengkel, Jom Masuk Universiti termasuk program untuk kanak-kanak.

“Setiap tahun kita memang hantar kertas kerja kepada Kerajaan Negeri, alhamdulillah peruntukan diperoleh banyak membantu kami untuk bergerak memandangkan galeri ini satu-satunya di Selangor.

“Insya-Allah sehingga akhir tahun banyak program lain dirancang untuk membantu masyarakat setempat termasuk empat pameran seni yang bakal dianjurkan,” katanya hari ini.

Ditemui pada majlis perasmian Pameran Sembuh di Hab Media Kreatif Universiti Teknologi Mara di sini, Alina memaklumkan kos penganjuran pameran kebiasaannya mencecah RM6,000.

“Cuma setiap tiga kali seminggu, kita mengadakan bengkel seni. Kita juga melihat kepada pengisian program itu sendiri,” katanya lagi.

Pada 26 Februari lalu, Galeri Shah Alam menganjurkan Pasar Seni Genta bagi membantu pemulihan industri kreatif yang suram akibat pandemik Covid-19.

Program itu menghimpunkan kumpulan muzik seperti Band Mim, Band Motherwit, Band Wani Ardy dan Band Runs manakala pemuisi Aliff Awan, Syahirah Wasabi, Leia Hassan, Jack Malik dan Mosyuki Borhan.

Pelbagai barangan seni dan kraf, buku serta makanan dan minuman turut dijual kepada pengunjung dengan matlamat melonjakkan kembali ekonomi setempat.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang Galeri Shah Alam melalui pautan https://galerishahalam.com/ untuk maklumat lanjut.


Pengarang :