Pembaca Meter TNB, Muhammad Zahiri Yami ketika menjalankan tugas membaca meter di premis pengguna. Foto Facebook TNB Careline
AGENDA NASIONAL

Gangguan elektrik, pemilik akaun alami kerugian boleh tuntut rebat

KOTA BHARU, 30 JULAI: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberi rebat kepada pengguna terutama peniaga yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan Semenanjung Malaysia, Rabu lepas.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata didapati pada hari kejadian seramai satu juta pengguna akaun domestik, industri dan komersial terkesan dengan gangguan yang berlaku sejak 12.39 tengah hari itu.

“Pengguna yang terkesan seperti peniaga boleh membuat tuntutan dengan menyatakan jumlah kerugian dialami.

“Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai rebat itu akan saya bentangkan di Parlimen pada 4 Ogos depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kota Bharu kali ke-55, di sini hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memuji tindakan pantas pihak TNB yang berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di kawasan mengalami gangguan dalam tempoh dua jam 21 minit.

“Disebabkan masalah yang berlaku pada hari itu, kita perlu menjaga kestabilan tenaga sehingga terpaksa mencatu kawasan tertentu yang tidak kritikal.

“Pada masa yang sama kita memastikan hospital, lapangan terbang dan Parlimen yang bersidang ketika itu tidak mengalami gangguan bekalan elektrik,” katanya.

TNB dalam kenyataan Rabu lepas memaklumkan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak 12.39 tengah hari berpunca daripada kerosakan satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Kerosakan itu mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt (GW) yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

— BERNAMA

 


Pengarang :