AGENDANASIONAL

Guru Kafa hempas murid hingga patah kaki dibebas dengan jaminan polis

KUALA TERENGGANU, 17 JULAI: Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sebuah sekolah di Marang dekat sini, yang direman selepas disyaki menghempas seorang anak murid lelakinya hingga patah kaki, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi berkata pihaknya telah menjalankan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan telah merekodkan semua keterangan daripada guru lelaki itu.

“Bahan bukti juga sudah kita kumpul dan kertas siasatan kita akan serahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya, jadi tak perlu lagi untuk kita reman guru tersebut,” katanya.

Sebelum ini, ibu kepada seorang murid lelaki berusia sembilan tahun mendakwa kaki kanan anaknya patah selepas dihempas ke atas kerusi oleh seorang guru Kafa sewaktu sesi pengajaran, 6 Julai lepas.

Kejadian itu dikatakan berlaku kerana guru Kafa tersebut berang dengan perlakuan murid Tahun Tiga berkenaan di dalam kelas.

-BERNAMA


Pengarang :