AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Gusti lengan berbusana Melayu penyeri Jelajah Selangor, peluang menang RM300

SHAH ALAM 28 JULAI: Gusti lengan antara acara yang bakal dipertanding dalam Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai ini.

Menariknya, acara sukan yang terbuka untuk dua kategori iaitu 75kg ke atas dan bawah menuntut peserta mengenakan busana Melayu sebagai syarat pertandingan.

Juara akan membawa pulang wang tunai RM300, naib juara (RM200), ketiga (RM100) dan keempat (RM50).

Bermula 8 pagi hingga 5.30 petang, program anjuran Kerajaan Negeri yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, acara sama dijayakan di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat Stadium Utama Kuala Selangor dan Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Program turut diserikan dengan persembahan artis, pertandingan futsal, sukan rakyat, permainan dalam talian Mobile Legends, pameran dan jualan makanan.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

 


Pengarang :