Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci di Pusat Konvensyen Movenpick pada 4 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Haji: Semua jemaah Malaysia berpeluang wukuf termasuk pesakit

MINA, 10 JULAI: Kesemua 14,306 jemaah haji Malaysia termasuk 26 pesakit berjaya dibawa ke Arafah untuk berwukuf pada 8 Zulhijjah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata sebanyak empat bas khas yang diubah suai disediakan untuk jemaah yang sakit dan uzur dari Pusat Kesihatan TH Syisyah, Makkah bersama 68 petugas perubatan dan dibantu 22 petugas Tabung Haji.

“Pada tahun ini, Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan usahanya bagi memastikan kesempurnaan ibadah haji bagi jemaah yang sakit dan uzur melalui pelaksanaan Safari Wukuf yang telah diperkenalkan sejak 2016.

“Ia bertujuan membawa mereka yang sakit untuk berwukuf di Arafah dengan meneruskan proses perawatan pesakit di dalam ambulans dan bas yang disediakan,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat perubatan itu.

Idris berkata setakat 9 Julai, terdapat 32 pesakit dirawat di Pusat Kesihatan TH Syisyah manakala seorang dirawat di hospital Arab di Mina.

Beliau yang sempat memantau urusan rombongan haji Malaysia di Arafah serta Pusat Perubatan TH Syisyah, turut memuji kemudahan perubatan serta perkhidmatan diberi TH demi keselesaan jemaah haji.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa selepas wukuf dan bermabit di Muzdalifah pada 8 dan 9 Zulhijjah, semua jemaah haji Malaysia kini berada di Mina untuk melaksanakan ibadah melontar bagi hari ke-10 hingga 13 Zulhijjah.

Waktu ibadah melontar bagi jemaah Malaysia ialah pada 8 hingga 10 malam serta selepas subuh.

“Ibadah melontar memberikan cabaran kepada jemaah haji kerana ia melibatkan perjalanan sejauh 10 km dari khemah ke Jamrah dan balik semula ke khemah.

“Saya menyarankan agar setiap jemaah haji memberikan perhatian kepada setiap arahan yang diberikan oleh petugas TH serta mengikut waktu melontar yang ditetapkan demi keselamatan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar jemaah haji yang sedang melakukan ibadah melontar selama tiga hari di Mina, untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal terutama aspek kesihatan.

– BERNAMA


Pengarang :