Keadaan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Foto Facebook LLM
AGENDANASIONAL

Hampir 2.4 juta dijangka guna Lebuh Raya Karak, LPT1 menjelang Aidiladha

SHAH ALAM, 4 JULAI: Anih Berhad (Anih) menganggarkan hampir 2.4 juta kenderaan bakal menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjelang sambutan Aidiladha hujung minggu ini.

Pengurus Besar Kanannya berkata, daripada jumlah itu, 1.64 juta dijangka menggunakan KLK dan 704,000 adalah pengguna LPT1 memandangkan cuti hujung minggu yang panjang iaitu mulai 8 hingga 11 Julai ini.

“Berdasarkan aliran hujung minggu yang stabil sejak awal tahun, purata harian hujung minggu bagi KLK adalah 161,000 manakala di LPT1 pula merekodkan sebanyak 65,000 kenderaan.

“Sehubungan itu, beberapa langkah tambahan bakal dilaksanakan iaitu menambah petugas dan anggota sebagai persediaan pengaktifan lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik, selain memastikan kelancaran operasi di lebuhraya termasuk menjamin tahap kebersihan di semua hentian sebelah serta kawasan rehat,” kata Radzimah Mohd Radzi dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata jadual cadangan perjalanan (TTA) turut dikeluarkan sebagai peringatan di setiap musim perayaan bagi menjamin keselesaan semua pengguna.

“Anih ingin mengingatkan pengguna supaya memandu dengan berhemah, memastikan kenderaan dalam keadaan baik, mempunyai baki e-wallet, Touch n’GO dan SmartTag yang mencukupi, selain rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Untuk maklumat terkini keadaan di KLK dan LPT1, sila rujuk laman sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia/Anih Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi talian LLM di 1800-88-7752 atau LPT di talian 1-700-818-700.


Pengarang :