Penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) memasang bendera parti ketika kempen Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 pada 8 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

HARAPAN garis lima sebab tolak RUU suruhanjaya bebas tatalaku polis

SHAH ALAM, 26 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) menolak Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 (IPCC) yang diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

Majlis Presiden HARAPAN berkata Rang Undang-Undang (RUU) IPCC itu mempunyai banyak kepincangan dan tidak memenuhi hasrat reformasi institusi seperti yang diharapkan.

“RUU IPCC mempunyai banyak kelemahan iaitu anggota Suruhanjaya tidak berkecuali serta boleh dilucutkan bila-bila masa tanpa sebab dan kedua, setiausaha suruhanjaya dilantik Menteri Dalam Negeri berbanding Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang melantik setiausahanya sendiri pada masa ini.

“Selain itu, IPCC juga tiada kuasa siasatan seperti yang ada pada EAIC dan keempat IPCC tidak membolehkan suruhanjaya meneliti hal-hal di bawah Arahan Tetap Ketua Polis (IGSO) dan akhir sekali IPCC tiada peruntukan untuk suatu lembaga tatatertib,” menurut kenyataan bersama.

Justeru, atas lima alasan itu HARAPAN menolak RUU IPCC berkenaan.

Kenyataan itu dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohammad Sabu; Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020, selepas selesai penggulungan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju, selepas melalui perbahasan di peringkat Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa.


Pengarang :