Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika berucap pada Ceramah Mega Jelajah Pakatan Harapan Selangor di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya pada 23 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN Selangor harus waspada helah musuh, elak terlalu selesa

PETALING JAYA, 24 JULAI: Pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor diingatkan supaya tidak mengambil mudah dan berasa selesa menjelang pilihan raya meskipun mentadbir negeri lebih 10 tahun.

Pengarah Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Fahmi Fadzil berkata musuh sentiasa mencari helah dan sanggup melakukan apa sahaja demi menjatuhkan HARAPAN di Selangor menerusi pelbagai propaganda.

“Kita mentadbir sejak 2008 tetapi kita tidak boleh ambil mudah. Jangan anggap kita menang dulu, kita akan terus menang. Jangan anggap rakyat sayang dulu, rakyat akan terus sayang.

“Kita kena kerja lebih keras, dengar dan faham denyut nadi rakyat. Rakyat hendak Selangor yang adil untuk rakyat dan Selangor terus jadi peneraju, contoh kepada negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berucap dalam program Jelajah HARAPAN Selangor di Kota Damansara di sini malam tadi. Turut berucap, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Dato’ Menteri Besar.

Fahmi yang juga ahli parlimen Lembah Pantai mengajak semua pemimpin HARAPAN negeri supaya memastikan rakyat terutama golongan pertama kali mengundi memilih gabungan berkenaan pada pilihan raya umum ke-15.

“Beritahu sanak saudara, sahabat kita apabila tiba masa keluar mengundi kita kena pastikan mereka mengundi terutama anak muda dan mereka yang pertama kali. Tugas kita sangat berat,” katanya.

Awal bulan ini, Amirudin mendedahkan lebih 65 peratus rakyat Selangor berpuas hati dengan pentadbiran bawah pimpinan HARAPAN berdasarkan tinjauan yang dibuat Kerajaan Negeri.


Pengarang :