Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Izham Hashim berucap ketika Majlis Makan Malam Amal biro Ekonomi Amanah Negeri Selangor di Dewan Persatuan Bola Keranjang, Kuala Langat pada 3 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN Selangor tekad kerja lebih keras, kekal tadbir selepas PRU-15

KUALA LANGAT, 4 JULAI : Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor tekad bekerja lebih keras bagi memastikan negeri kekal di bawah pentadbiran sama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor Ir Izham Hashim berkata pelbagai kejayaan dicapai Kerajaan Negeri meskipun kerajaan persekutuan ketika ini dilihat gagal mengurus negara.

“Kerajaan sekarang gagal sejak awal lagi. Ekonomi jatuh, kompetitif jatuh malahan pengurusan kesihatan awam juga gagal.

“Tetapi Alhamdulillah pada masa sama Selangor berjaya catat pencapaian luar biasa dalam semua aspek, kita juga berjaya menyumbang 24.8 peratus nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” katanya dalam majlis makan malam parti itu di sini, malam tadi.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Kerajaan Negeri Dato’ Teng Chang Khim dan Borhan Aman Shah..

Pada masa sama, Ir Izham mengajak semua pucuk pimpinan untuk mengekalkan perpaduan parti selain meneruskan agenda membantu meringankan beban rakyat.

“Jika kita mahu kemenangan pada PRU-15 akan datang, kita perlu bersama rakyat, berusaha bantu mereka kerana daripada situ rakyat akan menyokong kita.

“Kita juga perlu mengekalkan perpaduan jangan berpecah sebaliknya bina kekuatan antara parti. Teruskan usaha bagi menjamin Selangor terus berada di landasan yang betul,” katanya.

 


Pengarang :