BUDAYARENCANA

Hari terakhir

dinihari, bot telah memanaskan
otot atas suam-suam perut laut
seorang nelayan melumuri muka dengan bahasa
tengkujuh yang sering menyegarkan bahawa
impian harus melunjur berani daripada peribadi daif

waktu untuk dirinya tinggal berbaki sedikit
lalu dia cuma berkesempatan mewangikan
pengalaman dengan bau hanyir ikan dan
kersik-kersikan cengkerang tua saja

apungan minyak enjin sampan
serta kapal besar berdakapan lembut
sedia menyurut ke teluk pantai dan bawah jeti
serupa memunggah bunga perpisahan ke daratan senja

sekarang kebimbangan hari -harinya yang
mendatang ialah cuma timbangan hasil tangkapan
untuk dijelaskan kepada isteri
yang sedang nyanyuk di rumah.

Clariessa Kesulai


Pengarang :