Oleh INTAN SYUHADA AKHIR
Seperti ada perasaan berbeza ketika Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin Mohamed menjejakkan kaki ke Makkah yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Baginya, ia perjalanan kerohanian yang menjadi kenangan terbaik sepanjang hidup.
Calon Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-30 pada 2019 ini menyifatkan tanah suci tempat paling indah ketika dia berada di sana untuk mengerjakan ibadah umrah, April lepas.
Sekembalinya ke Malaysia, terbit rasa rindu terhadap bumi Rasulullah SAW di hati anak kepada novelis terkenal, Dr Samsiah Mohd Nor itu.
“Ada banyak perkara yang menginspirasikan saya. Sekarang, jika ada sesuatu ujian atau perkara yang membuat saya terluka, saya akan ingat kembali bagaimana perasaan saya ketika di Makkah. Perasaan itu tidak dapat saya jelaskan bagaimana, apa yang boleh saya katakan ia memang hadiah dari alam yang lain.
“Ia sebuah perasaan yang mengubah saya dan menjadi antara perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup. Sukar untuk ungkapkan bagaimana perasaan itu namun saya yakin ia hadir daripada alam yang lain,” katanya ketika ditemu bual sempena sambutan Maal Hijrah.
Usai menunaikan umrah, Daiyan Trisha juga mula berusaha untuk memahami al-Quran dengan membaca terjemahannya.
“Saya segan mengatakan ini sebab macam tiba-tiba pula. Tapi selepas pulang daripada mengerjakan umrah, saya suka membaca terjemahan al-Quran,” dedahnya.
Memilih watak
Tambah wanita jelita berumur 28 tahun itu, pengalamannya di tanah suci mempengaruhi tulisannya yang dahulu proses kreatif datang menerusi bacaan karya-karya penulis terkenal antarabangsa seperti Paulo Coelho.
“Sebelum ini di Instagram, saya mengikuti banyak penyair yang rajin memuat naik kata-kata mereka se-
perti Rupi Kaur dan Lang Leav. Manakala buku kesukaan saya sepanjang zaman ialah The Alchemist iaitu novel tulisan pengarang terkenal Paulo Coelho,” katanya.
Pelantun lagu Penat itu sememangnya rajin berkongsi kata-kata dan tulisannya menerusi akaun khas yang mendokumentasikan puisinya bernama @tulisanbydaiyantrisha di Instagram.
Hampir sedekad bergelar pelakon, penggalas filem Busker ini sangat kritis terhadap tawaran watak yang diterimanya. Gadis asal Bangi itu percaya, setiap watak yang dibawanya mestilah bermakna dan memberi impak positif kepada penonton.
“Memang dari dahulu lagi perempuan selalu dilihat sebagai watak yang selalu dicurangi, kena tinggal atau dijadikan mangsa. Ada spesifik platform media yang pada pendapat saya seolah-olah merendahkan penonton. Saya faham mereka ada target pasaran tertentu dan mereka selesa membentuk pasaran itu untuk sedekad.
“Saya tidak bersetuju dan saya lantang mengkritik ini di laman sosial saya. Apa yang kita pamerkan akan membentuk pemikiran masyarakat kita.
“Oleh sebab itu, saya sangat memilih watak, jalan cerita, visual, pengarah dan produksi. Kerana setiap kerja yang saya lakukan akan membentuk perjalanan karier saya. Jika ada yang ingin mendapatkan jalan mudah dengan cara tradisional seperti ini, silakan,” katanya.
Daiyan Trisha bersyukur kerana dibesarkan dengan sumber maklumat dan kandungan hiburan yang pelbagai. Maka, cerita yang seolah-olah menunjukkan wanita lemah di dalam filem tidak pernah menarik perhatiannya.
“Saya bersyukur tidak dibesarkan dalam keluarga yang banyak menonton drama. Ibu bapa saya berjaya menyediakan bahan tontonan yang betul seperti naskhah Disney, dan banyak lagi pilihan merangkumi pelbagai genre,” katanya.
Selepas bergelar anak seni, pemegang ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan turut menyuarakan hasrat terjun ke bidang perniagaan.
Namun gadis itu mengunci mulut produk yang bakal diperkenal dan meminta peminat terus mendoakan kejayaannya.